Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MOA, IADA komited tingkat hasil padi, beras tempatan

Badrul (depan) bertanyakan sesuatu kepada Salmah (kiri) berkenaan projek perataan tanah sawah di Kampung Sangkir sambil diperhatikan oleh Jamil (kanan).

KOTA BELUD: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) komited dalam meningkatkan hasil tanaman padi dari purata 3.5 kepada 6 metrik tan per hektar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA, Badrul Hisham Mohd berkata, sehingga kini Tahap Sara Diri (SSL) penggunaan beras di Sabah masih berada ditahap yang rendah.

“Pada masa kini, masyarakat di negeri ini bergantung sepenuhnya pada beras import memandangkan SSL di Sabah hanya 30 peratus.

“Bagi meningkatkan pengeluaran padi, MOA telah mengaktifkan projek IADA untuk menampung keperluan beras di Sabah,” ujarnya.

Dalam projek berkenaan, RM360 juta diperuntukkan bagi kemudahan pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran yang merangkumi 10 jenis pakej bermula tahun 2015 hingga 2020.

“Bagi mencapai hasrat berkenaan, tiga pakej sedang rancak dalam pembinaan pada ketika ini antaranya Projek Menaik Taraf Dan Penyusunan Semula Pengangkutan Terusan Menengah Utama Dan Kerja-Kerja Berkaitan Skim Pengairan Utara Tempasuk yang telah berjalan 78 peratus dan dijangka siap pada Ogos ini.

“Selain itu, pakej kedua, Pembinaan Ban Banjir, Jalan Ladang dan Kerja-Kerja Berkaitan untuk Sungai Kesapang dan Sungai Jepun juga telah berjalan sehingga 50.5 peratus dan dijangka siap, juga pada Ogos 2017.

“Manakala, pakej ketiga, Pembinaan Saluran Paip dan Jalan Ladang di Tawadakan – Tamau juga sedang berjalan lancar dan kini telah siap sebanyak 2.18 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2018,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke IADA Kota Belud, pada Isnin.

Menurutnya, 10 ribu hektar tanah di kawasan ini berpotensi untuk dimajukan seramai 4,000 petani aktif dan juga pemain industri seperti pembekal baja, pembekal jentera dan input-input pertanian akan mendapat manfaat daripada pakej-pekej pembangunan IADA di daerah berkenaan.

Beliau juga berkata, pembangunan infrastruktur yang canggih dapat meningkatkan pembangunan pertanian dan berpotensi dalam sektor haiwan ternakan serta perikanan.

Hadir sama di lawatan tersebut adalah Pengarah IADA Kota Belud, Salmah Albulla, Timbalan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian MOA, Jamil Shaari dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengaliran dan Saliran Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, Charles Yeo. /PENERANGAN-

Charles (kiri) menerangkan status Projek Menaik Taraf Dan Penyusunan Semula Pengangkutan Terusan Menengah Utama Dan Kerja-Kerja Berkaitan Skim Pengairan Utara Tempasuk kepada Badrul (tengah) sambil disaksikan oleh Salmah (kanan).

 

Komen


Berita Berkaitan