Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,732

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

MKN Sabah Hantar Pulang 490 Pati Warga Filipina

10:50am 29/06/2016 Pak Roshan 228 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

SANDAKAN – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menghantar pulang seramai 490 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina, semalam.

Setiausaha MKN Sabah Rodzi Md Saad yang menyaksikan sendiri penghantaran pulang PATI itu berkata daripada jumlah itu, 309 adalah lelaki, 141 perempuan dan 40 lagi adalah kanak-kanak yang berusia antara sebulan hingga 61 tahun.

Katanya ini menjadikan jumlah PATI yang telah dihantar pulang ke negara asal mereka sejak 1 Januari lepas sehingga semalam berjumlah 13,145 orang iaitu 10,761 Filipina, 2,289 (Indonesia) dan 95 orang lain-lain warganegara.

“Penghantaran pulang PATI warganegara Filipina pada malam ini membolehkan mereka yang beragama Islam dapat menyambut Hari Raya Aidil Fitri di kampung mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Pelabuhan Sandakan.

Proses penghantaran PATI berkenaan bermula pukul 9 malam dengan menaiki feri dan mengambil masa 22 jam untuk sampai ke Zambonga.

Beliau berkata jumlah keseluruhan PATI yang telah diusir balik ke negara asal mereka sejak 1990 hingga semalam berjumlah 543,086 orang.

Menurutnya jumlah PATI yang masih ditahan di empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini ialah 4,989 orang iaitu 1,666 (PTS Kota Kinabalu), 1,353 (PTS Papar), 1,049 (PTS Sibuga Sandakan) dan 921 (PTS Tawau).

Beliau berkata penghantaran pulang semua PATI yang ditahan di PTS dilaksanakan secara berterusan melalui pelabuhan Sandakan dan Tawau dengan kekerapan dua kali seminggu.

“Jika terdapat keperluan penghantaran pulang PATI dengan segera, penghantaran akan dilaksanakan serta merta tanpa tertakluk kepada jadual yang dinyatakan,” katanya.

Rodzi juga meminta masyarakat di negeri ini tidak melindungi PATI dan melaporkan kehadiran PATI di tempat mereka kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat dilakukan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan