Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Minta Maaf Dan Memaafkan Dalam Islam

Gambar Hiasan

Setiap hari kita akan berurusan di antara satu sama lain. Kemungkinan untuk salah faham itu akan ada.

Sebolehnya kita akan cuba mengelak perkara demikian dengan menjaga adab, berkata dengan perkataan yang baik dan jika mahu menegur pun, biarlah pada waktu yang sesuai.

Namun bagaimana jika terjadi juga salah faham?

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat: 10)

Meminta maaf sifat yang berani

Adalah penting untuk kita menjaga hati orang lain. Itu adalah tanggungjawab. Namun kita tidak akan dapat lari daripada kesilapan. Kita perlu akui hakikat itu.

Jangan menunda untuk momohon maaf kerana hal-hal esok tidak dapat dijangka. Cara terbaik adalah bercakap secara berdepan serta akuilah kesalahan kita. Tidak rugipun jika kita berdepan dengan kebenaran.

Apa yang penting kita berusaha memperbaiki ukhwah tersebut dan mahu cuba perbaiki kesilapan diri untuk tidak lagi mengulanginya.

Hidup adalah seketika sahaja. Jadi, tiada gunanya untuk kita bergaduh lama-lama. Ikhlaskan meminta maaf dan beri masa pada orang untuk memaafkan kita.

Perasaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksakan, jadi doalah yang baik-baik untuk masa depan yang lebih baik. 

Namun bagaimana jika hati kita pula yang terluka?

Mahukah aku ceritakan kepadamu mengenai sesuatu yang membuat Allah memuliakan kedudukan dan meninggikan darjatmu? Para sahabat menjawab; tentu. Rasul pun bersabda; Kamu harus bersikap sabar kepada orang yang membencimu, kemudian memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu dan juga menghubungi orang yang telah memutuskan silaturahim denganmu.” (Hadis riwayat al-Thabrani)

 

Memaafkan adalah sifat orang yang kuat. Sesekali ubahlah sudut pandang kita (jika berada di tempat orang lain) kerana hakikatnya kita juga mahu dimaafkan.

Bersikaplah dengan sikap positif untuk lebih tenang dan cekal dalam menghadapi hidup. Ikhlaskan. Lakukan kerana kita tahu memaafkan adalah sifat yang mulia dan Allah suka.

Jangan hidup pada masa lalu, ada perkara yang perlu kita lepaskan untuk menemui hari baru yang lebih baik.

Kelebihan orang yang memaafkan orang lain ini adalah mendapat kecintaan dan keampunan daripada Allah serta mendapat pembelaan daripada-Nya.

Siapa tahu dengan memaafkan seseorang akan membuka pintu rahmat yang lebih besar untuk kita dan orang di sekeliling kita kelak. Insya-Allah.

Sesungguhnya sesuatu nikmat itu selalu datang melalui jalan yang tidak disangka-sangka.

Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah Ali-Imran: ayat 133-134)

Islam adalah agama kasih sayang. Jadi mulakan hari ini dengan memohon maaf jika rasa ada kesilapan dan belajarlah memaafkan.

Mudah-mudahan kita semua menjadi hamba-Nya yang bertaqwa.

(Sumber: iluvislam oleh Anem Arnamee)

Komen


Berita Berkaitan