Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,725

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Michael Moore kutuk Donald Trump

9:36am 19/12/2015 Pak Roshan 5 views Global
MOORE menunjuk perasaan di hadapan Menara Trump di New York.

MOORE menunjuk perasaan di hadapan Menara Trump di New York.

New York: Penerbit filem dokumentari Michael Moore membantah gesaan Donald Trump untuk melarang Muslim memasuki Amerika Syarikat.

Aktivis sosial itu menunjuk perasaan di hadapan Menara Trump di New York semalam dengan membawa sepanduk berbunyi ‘We are all Muslims’ (Kami semua Muslim).

Moore berada di menara itu sehingga polis tiba dan meminta dia meninggalkan tempat itu.

Moore yang pernah memenangi Oscar kerana pembabitannya dalam bidang perfileman kemudian mengutuskan surat terbuka kepada Trump, calon parti Republikan dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun depan dengan mengecam serangannya terhadap penganut Islam.

Dia menuduh bilionair hartanah itu menyerang Muslim semata-mata kerana takut kepada mereka.

“Kita berada dalam tahun 2015 dan seperti ramai orang kulit putih, anda takut dengan semangat jahat yang memburu kamu. Dalam otak anda, semangat jahat itu semuanya Muslim. Bukan setakat kumpulan militan, tetapi SEMUA MUSLIM,” tulis Moore dalam akaun Facebooknya.

Dia juga mengingatkan Trump mengenai prinsip kesamarataan dan kebebasan beragama yang diperjuangkan Amerika Syarikat.

“Kerana terdesak dan tidak waras, kamu menggesa semua Muslim diharamkan memasuki negara ini. Saya dibesarkan dengan kepercayaan kita semua sama, tidak kira bangsa, prinsip mahupun warna kulit. Ini bermakna jika anda mahu mengharamkan Muslim, anda perlu mengharamkan saya. Dan semua orang,” kata Moore.

Kenyataannya itu mendapat 34,000 ‘like’ dan dikongsi lebih 10,000 kali dalam masa kurang sejam selepas ia dimuat naik. – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan