Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MHC: Tengku Abdullah undur diri

tengku abdullah

Kuala Lumpur: Selepas dua penggal memimpin Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akhirnya mengumumkan untuk mengosongkan kerusi Presiden MHC pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu yang dijangka bakal berlangsung selepas temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada bulan depan.

Pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi MHC semalam, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan, keputusan yang dibuatnya itu muktamad.

Tengku Abdullah berkata, memang sudah sampai masanya untuk beliau berundur namun tidak menolak pelbagai isu termasuk prestasi hambar skuad negara sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak mempengaruhinya untuk mengambil keputusan itu.

“Saya mahu mengumumkan untuk mengosongkan jawatan saya. Saya mahu memberi peluang kepada muka baru untuk mengambil alih kepimpinan MHC dan membawanya ke tahap lebih tinggi.

“Apa yang terjadi (pelbagai isu) memang sedikit sebanyak membuatkan saya rasa tersinggung, tapi tidak semestinya tidak berpuas hati dengan prestasi skuad negara.

“Saya rasa sudah melakukan yang terbaik. Jadi kalau ada orang yang nak datang (bertanding), saya sudah kosongkan kerusi untuk mereka,” katanya.

Tengku Abdullah juga tidak menolak keputusannya untuk berundur dari MHC kerana mahu bertanding jawatan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) pada kongres badan induk itu 31 Ogos ini.

“Saya perlu teruskan tugas kepada satu tahap lebih tinggi dengan melihat kepada jawatan di AHF. Takkan saya nak kekal di jawatan sama saja.

“Lagipun, sampai satu masa nanti saya kena kosongkan juga kerusi ini. Jadi inilah masa yang terbaik,” katanya.

Tengku Abdullah memimpin MHC sejak 2008 sehingga kini dan sepanjang kepimpinannya, banyak kejayaan diraih oleh skuad negara termasuklah layak ke Piala Dunia di The Hague, Belanda.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad menyambut baik keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang kembali meletakkan skuad hoki lelaki dan wanita negara dalam Kategori A pada temasya Sukan Asia selepas mengambil keputusan meletakkan mereka dalam Kategori B sebelum ini.

“Alhamdulillah, usaha kami bertemu dengan pihak MOM untuk menjelaskan mengapa hoki layak diberi Kategori A membuahkan hasil.

“Terima kasih kepada MOM yang mempertimbangkan permohonan kami,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan