Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MH370: Tiong Lai akan ke Australia

tionglai2

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Australia dalam tempoh terdekat berhubung laporan terkini misi pencarian MH370.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston untuk mendapatkan maklumat tepat serta terperinci tentang perkembangan MH370.

“Ini susulan banyak khabar angin serta cerita-cerita tidak sahih dilaporkan pihak tertentu,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Menteri Pengangkutan daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, semalam.

Minggu lalu, mengikut laporan keselamatan pengangkutan Australia semua penumpang MH370 termasuk krew kapal didakwa meninggal dunia akibat sesak nafas, selain pesawat dipandu melalui pemanduan automatik sebelum hilang di selatan Lautan Hindi.

Laporan setebal 55 muka surat yang diumumkan Jumaat lalu itu menjelaskan beberapa petunjuk luar biasa sepanjang laluan penerbangan pesawat dan tiada campur tangan juruterbang juga mengukuhkan dakwaan tersebut.

Tiong Lai berkata, selepas mendapat butiran terperinci daripada Australia, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa China.

Sementara itu,  Hishammuddin yang sebelum ini memangku Kementerian Pengangkutan selama lebih setahun berkata, beliau dan Tiong Lai akan diberi taklimat penuh oleh empat jawatankuasa kabinet berhubung MH370 di Parlimen esok.

Katanya, isu dibangkitkan berhubung dakwaan kematian semua penumpang dan krew pesawat akibat sesak nafas juga akan dikemukakan kepada panel pakar yang merupakan salah seorang daripada empat jawatankuasa terbabit.

Empat jawatankuasa itu yang diwujudkan khusus untuk MH370 ialah Jawatankuasa Waris Penumpang yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Luar, Hamzah Zainuddin; Jawatankuasa Teknikal (Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi) dan Jawatankuasa Pergerakan Aset, Timbalan Menteri pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Hishammuddin berkata, beliau akan terus bekerjasama dengan Tiong Lai bagi memastikan peralihan tugas itu tidak terjejas.

“Saya akan berkongsi pengalaman kerana ada perkara-perkara yang kita perlu beri tumpuan awal serta buat secara berperingkat.

“Tambah lagi Kementerian Pengangkutan bukan sahaja berkisar mengenai MH370 tetapi ada banyak lagi perkara lain yang turut perlu diberi perhatian,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan