Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MH370: Misteri gangguan peralatan di kokpit

mh370

SYDNEY: Penyiasat yang melakukan siasatan terhadap kehilangan pesawat MH 370 mungkin menemui bukti baru berhubung dengan gangguan peralatan di kokpit pesawat berkenaan.

Laporan yang dikeluarkan oleh penyiasat Australia mendedahkan bahawa pesawat Boeing 777 yang hilang itu mengalami misteri gangguan kuasa elektrik di peringkat awal penerbangan, yang dipercayai oleh pakar sebagai sebahagian daripada cubaan untuk mengelakkan pengesanan radar.

Menurut laporan itu, unit data satelit pesawat terbabit melakukan permintaan ‘log-on’ secara tidak dijangka kepada satelit kurang daripada 90 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Laporan itu menyatakan permintaan log-on itu, yang juga dikenali sebagai ‘handshake’, kemungkinan berpunca daripada gangguan kuasa elektrik di atas pesawat.

David Gleave, pakar keselamatan penerbangan daripada Universiti Loughborough, berkata gangguan kepada kuasa elektrik itu nampak seperti ada seseorang di kokpit cuba mengurangkan penggunaan sistem pesawat.

Tindakan itu, katanya, adalah konsisten dengan cubaan untuk menutup sistem komunikasi dan sistem lain dalam cubaan untuk mengelakkan pengesanan radar.

“Ia juga mungkin perbuatan disengajakan untuk memadamkan kedua-dua enjin untuk tempoh tertentu. Dengan melakukan gangguan di kokpit, anda boleh memadamkan kuasa elektrik buat sementara dan memasangnya semula apabila memerlukan sistem lain bagi menerbangkan pesawat itu,” katanya.

Inmarsat, syarikat rasmi yang ditugaskan menganalisis data penerbangan MH 370 itu, mengesahkan andaian berkenaan tetapi tidak tahu kenapa pesawat terbabit mengalami kegagalan elektrik.

“Nampaknya memang ada kegagalan kuasa elektrik dua kali,” Chris McLaughlin, daripada Inmarsat memebritahu The Telegraph. “Ia adalah satu misteri kecil. Kami tidak dapat menjelaskan apa yang berlaku. Kami tidak tahu kenapa. Kami hanya tahu ia berlaku.”

Laporan dari Australia itu mendedahkan bahawa pesawat Boeing 777 itu cuba log on ke satelit Inmarsat pada 2.25 pagi, tiga minit selepas ia dikesan oleh radar tentera Malaysia.

Pesawat itu tersasar ke utara pulau Sumatra, walaupun penerbangan asal akan membawanya ke destinasinya di Beijing namun ia tidak membuat pusingan ke selatan menghala ke Lautan Hindi.

Pesawat itu mengalami satu lagi permintaan log on hampir enam jam kemudian, walaupun ia adalah yang ketujuh dan handshake terakhir, yang dipercayai berpunca daripada pesawat berkenaan kehabisan minyak dan kuasa elektrik sebelum terhempas, di selatan Lautan Hindi. – Agensi

Komen


Berita Berkaitan