Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

MH370: Lima Sekeluarga Failkan Saman Terhadap MAS

7:12pm 25/02/2016 Pak Roshan 485 views Mutakhir,Nasional
gambar hiasan

gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lima sekeluarga hari ini memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dan lapan pihak lain bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM32 juta berhubung kematian seorang anggota keluarga mereka yang merupakan penumpang pesawat MH370 milik syarikat penerbangan itu, yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Saman kecuaian itu difailkan balu S. Puspanathan, 33, iaitu K. Sri Devi, 32, dan dua anak lelaki mereka berusia dua dan empat tahun serta ibu bapa mangsa G. Subramaniam dan isteri, A. Amirathan yang masing-masing berusia 62 tahun, melalui peguam mereka, Shailender Bhar.

Kelima-lima plaintif itu memfailkan saman menerusi Messrs Brijnandan Singh Bhar & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan MAS, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dan DCA selaku defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat, Jabatan Imigresen Malaysia, bekas Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, TUDM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan lima hingga kesembilan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif berkata si mati adalah antara 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam pesawat Boeing 777-200ER dengan nombor penerbangan MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing, China pada 8 Mac 2014.

Plantif mendakwa kira-kira 1.21 pagi, pesawat MH370 itu tiba-tiba hilang daripada radar DCA tetapi kekal pada radar TUDM yang turut mengesan pesawat itu menuju ke beberapa negeri termasuk Kelantan, Perak dan Pulau Pinang namun, plaintif mendakwa MAS gagal mengesan pesawat itu.

Mereka mendakwa pada 2.03 pagi, MAS mengesan MH370 di ruang udara Kemboja namun, DCA gagal mengesahkan lokasi berkenaan.

Plaintif berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac 2014, telah mengeluarkan kenyataan media rasmi yang menyatakan bahawa penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi dan tiada penumpang yang terselamat, dan lokasi sebenar pesawat itu masih tidak diketahui.

Menurut plaintif laporan penyiasatan secara konklusif juga mendapati adanya kecacatan pada pesawat itu termasuk kegagalan MAS dan pekerjanya menggantikan dan memasang Solid State Flight Data Recorder (SSFDR) yang dilampirkan dengan Underwater Locator Beacons (ULB).

Plaintif berkata bateri SSFDR ULB itu telah tamat tempoh pada Dis 2012 dan ia tidak diganti oleh MAS, menyebabkan usaha untuk mencari dan mengesan pesawat itu mustahil dilakukan.

“Butir-butir kecuaian yang dilakukan oleh MAS, antaranya, gagal untuk memastikan si mati tiba ke Beijing, China seperti yang dijadualkan dan gagal untuk mengenal pasti lokasi MH370 dengan tepat dan betul,” kata plaintif.

Plaintif mendakwa MAS gagal memaklumkan berita terkini mengenai kehilangan pesawat itu kepada mereka dan hanya mengetahui mengenainya melalui media.

Plaintif turut mendakwa Ketua Pengarah DCA gagal untuk menyediakan aturan yang selamat, cekap dan teratur bagi perkhidmatan kawalan trafik udara, perkhidmatan maklumat penerbangan serta amaran dan gagal mengesan serta mencari pesawat itu pada radar tentera sejurus ia tidak dapat dihubungi.

Mereka mendakwa Jabatan Imigresen Malaysia dan ketua pengarahnya ketika itu telah cuai apabila membenarkan dua penumpang warga Iran untuk menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport yang dicuri atau palsu, selain mendakwa TUDM gagal mengesan dan menjejaki pesawat itu yang hilang pada radar tentera.

Oleh itu, plantif menuntut ganti rugi yang kesemuanya berjumlah RM32 juta atas kehilangan sokongan, kehilangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja si mati yang sebelum ini bekerja di sebuah firma multinasional sebagai Pakar Urus Tabir yang memperoleh gaji RM14,460 sebulan dan kehilangan faedah perubatan kepada keluarga.

Mereka juga menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 29 Januari tahun lepas, Ketua Pengarah DCA Azharuddin yang mewakili kerajaan Malaysia mengumumkan kehilangan pesawat MH370 diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban.

Pada 6 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata selepas 515 hari pesawat MH370 hilang, pasukan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan