Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MH17: Russia akan bantu Malaysia – Duta

russiamalaysia

KUALA LUMPUR: Russia akan bekerjasama dengan apa cara yang mungkin untuk membantu kerajaan Malaysia menyelesaikan kes pesawat MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang terhempas di timur Ukraine.

Duta Russia di Malaysia, Lyudmila G Vorobyeva, berkata negaranya menghargai hasrat kerajaan Malaysia untuk mengetahui bagaimana tragedi dahsyat itu berlaku dan tidak semata-mata menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Di Russia, kami berasa amat simpati dengan Malaysia, keluarga mangsa dan mereka yang kehilangan saudara-mara dan orang tersayang. Kami juga amat menghargai pendirian kerajaan Malaysia yang tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menuding jari dan cuba untuk mencari fakta.

“Oleh itu, Russia akan memberi kerjasama kepada kerajaan Malaysia dan kami akan melakukan semua yang yang termampu untuk membantu kerajaan dalam keadaan yang sukar ini,” kata beliau kepada Bernama selepas temuramah eksklusif dengan BernamaTV dalam program ‘Bernama Today’.

Vorobyeva ditemu bual mengenai insiden pesawat Boeing 777-200ER MAS terhempas di kawasan Donetsk di Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur Khamis lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pada Jumaat bahawa pihak berkuasa Ukraine percaya Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 kru, telah ditembak jatuh.

Dalam temuramah dengan BernamaTV, Vorobyeva berkata pada masa ini, kerajaan Russia sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menyediakan langkah-langkah keselamatan di tempat kejadian.
“Kami meminta kerajaan Kiev dan pemimpin kawasan (Donetsk) ini memastikan bahawa semua langkah keselamatan dilaksanakan supaya pasukan pakar boleh sampai ke tempat kejadian,” kata beliau dan menambah bahawa pengaruh Russia terbatas memandangkan pesawat itu terhempas di wilayah Ukraine.

Beliau, bagaimanapun, berkata penglibatan suruhanjaya antarabangsa yang diketuai Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) amatlah penting bagi menyiasat tragedi itu.

“Menurut pemerhati Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OCSE) di tempat kejadian, puak pemberontak memberi kerjasama secara positif dengan menyediakan segala keperluan untuk membolehkan pasukan asing dan antarabangsa memasuki kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, yang lain bergantung kepada pihak berkuasa Kiev,” kata beliau.

Ketika ditanya tentang reaksi RuSsia apabila kesalahan dilemparkan oleh masyarakat dunia, Vorobyeva berkata tuduhan tidak harus dibuat sehingga fakta sebenar didedahkan melalui penyiasatan.

“Fakta-fakta hanya boleh ditentukan melalui penyiasatan oleh kumpulan pakar antarabangsa. Itulah yang diminta oleh Russia. Hanya selepas penyiasatan, barulah tuduhan boleh dibuat,” katanya.

Vorobyeva mendakwa krisis dalaman di Ukraine sekarang berkemungkinan menjadi punca tragedi.

Beliau berkata, adalah penting bagi puak-puak bertelagah di Ukraine mencari penyelesaian secara aman seperti ditegaskan Presiden Russia, Vladimir Putin semalam.

“Jika perbalahan dan pertumpahan darah pada 28 Jun (antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera kerajaan Ukraine dihentikan, tragedi (MH17) tidak akan berlaku,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa tragedi itu tidak seharusnya memecah-belahkan rakyat, sebaliknya menyatukan rakyat untuk mencari penyelesaian demi mengelakkan insiden serupa berulang.

Duta itu juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penumpang dan kru pesawat.

Komen


Berita Berkaitan