Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MH17: Malaysia Capai Persetujuan Dengan Pemimpin Yang Menguasai Lokasi Nahas

capai persetujuan

PUTRAJAYA– Malaysia telah mencapai tiga persetujuan penting dengan pemimpin yang menguasai wilayah lokasi nahas berhubung pesawat malang Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada Khamis.

Persetujuan itu membabitkan pengurusan mayat mangsa-mangsa MH17, hak penjagaan kotak hitam dan akses kepada para penyiasat bebas antarabangsa ke kawasan lokasi nahas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar di Seri Perdana pada lewat Isnin berkata beliau telah bercakap dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah di mana tragedi itu berlaku dan telah bersetuju dengan perkara-perkara berikut.

Saya perlu tegaskan walaupun persetujuan telah dicapai, namun ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum diselesaikan.

Najib berkata masih ada kerja yang perlu dilakukan, kerja yang bergantung kepada hubungan yang berterusan dengan jujur.

Katanya setakat ini Borodai dan orangnya memberi kerjasama mereka.

“Saya meminta semua pihak supaya terus bekerjasama bagi memastikan persetujuan itu dihormati; supaya mayat rakyat kita diserahkan kepada kita, agar kotak hitam diserahkan, dan supaya pasukan antarabangsa diberi akses penuh ke lokasi terbabit.

“Hanya selepas itu, barulah siasatan mengenai MH17 boleh benar-benar bermula; barulah mangsa boleh diberi penghormatan yang sewajarnya. Kami perlu tahu apa yang menyebabkan pesawat itu terhempas, dan siapa yang bertanggungjawab, agar keadilan boleh ditegakkan,” katanya.

“Sepanjang beberapa hari lepas, kami berusaha di sebalik tabir bagi mewujudkan hubungan dengan mereka yang mengawal lokasi nahas MH17.

Kini hubungan itu sudah terjalin. Dalam keadaan yang sukar dan tidak menentu, kami telah membincangkan masalah-masalah yang membelenggu kami: mendapatkan bukti penting daripada pesawat, menjalankan siasatan bebas, dan paling penting, mengambil mayat mangsa.

Malam ini, kami telah mencapai asas persetujuan untuk berbuat demikian,” katanya.

Persetujuan pertama membabitkan mayat 282 orang, yang ketika ini berada di Torez, akan dipindahkan dengan kereta api ke Kharkiv untuk diserahkan kepada para wakil dari Netherlands.

Katanya kereta api itu akan bertolak petang ini mengikut waktu Ukraine, dan akan diiringi enam anggota pasukan pengumpul bahan bukti dari Malaysia.

Najib berkata baru-baru ini, ada ketikanya, beliau berasa mahu menyuarakan dengan lantang kemarahan dan kepiluan yang dirasai rakyat Malaysia.

“Itulah apa yang saya rasa. Bagaimanapun, kadang kala, kita perlu bekerja secara senyap untuk mendapat hasil yang lebih baik.

“Saya faham, bagi anggota keluarga, tiada apa yang boleh diubah kembali. Nyawa yang telah hilang tidak boleh dikembalikan; maruah yang hilang tidak boleh dipulihkan,” katanya.

Najib berkata beliau berkongsi kesedihan dengan mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi MH17.

“Kami berharap dan berdoa agar persetujuan yang dicapai malam ini akan membawa kepada langkah yang jelas ke arah penyelesaian,” katanya.

Pesawat MH17, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis. Ia membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak jatuh.

Komen


Berita Berkaitan