Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MH17: Kerajaan Hantar Wakil Setiap Agama Urus Mayat Di Amsterdam

joseph kurup

KOTA KINABALU- Kerajaan akan menghantar wakil setiap agama dari negara ini ke Amsterdam, Belanda untuk menguruskan mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 mengikut cara agama masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata penghantaran wakil-wakil agama itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Sepertimana yang telah diputuskan oleh pihak kerajaan, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Toa Malaysia (MCCBCHST) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan menghantar wakil daripada setiap agama agar segala urusan mayat dapat dijalankan dengan sempurna mengikut kehendak agama masing-masing sebagai penghormatan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata mesyuarat dengan wakil-wakil agama daripada MCCBCHST yang diadakan di Putrajaya semalam memutuskan perkara sedemikian.

Kurup sebagai menteri bertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal pengurusan mayat bukan Islam berkata sebanyak 22 penumpang dan anak kapal bukan Islam terkorban dalam nahas itu.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius dan amat prihatin dengan kehendak dan permintaan waris mangsa MH17,” katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Komen


Berita Berkaitan