Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MH17: Duta Malaysia ke Ukraine, agensi keselamatan adakan mesyuarat khas bincang operasi susulan

duta malaysia

KIEV: Duta Malaysia ke Ukraine, Chuah Teong Ban dijangka mengadakan mesyuarat khas bersama pegawai beberapa agensi keselamatan Malaysia dan Ukraine di Hotel Presiden, di sini berhubung operasi khas susulan tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17.

Difahamkan, mesyuarat itu juga bagi meneliti situasi keselamatan di lokasi kejadian yang dikuasai puak pemisah Ukraine, Donesk People’s Republic yang sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan atas alasan tersilap sasaran.

Pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Snizhne, kira-kira 600 kilometer dari bandaraya ini berhampiran sempadan Russia – Romania, kelmarin selepas ditembak dipercayai menggunakan peluru berpandu BUK buatan era Soviet Union.

Dalam kejadian itu, 298 penumpang , termasuk anak kapal, dengan 80 daripadanya kanak-kanak terbunuh.

Sementara itu, 131 pegawai dan anggota pasukan siasatan khas membabitkan pelbagai agensi kerajaan, termasuk Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev kira-kira jam 4 pagi (waktu tempatan) bagi menjalankan misi siasatan, termasuk mengenalpasti punca sebenar kejadian berkenaan, yang disifatkan terburuk dalam sejarah industri penerbangan dunia.

Turut menyertai misi itu Pasukan SMART dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kumpulan pakar patologi dan pergigian dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selain misi siasatan, penumpuan operasi turut membabitkan usaha pengesahan identiti kesemua mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

Difahamkan, pasukan siasatan khas ini akan memasuki lokasi kejadian selepas mendapat kebenaran daripada kumpulan pemberontak.

Sumber memberitahu BH, pegawai dan anggota keselamatan, khususnya dari PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga tidak dibenarkan membawa senjata api, selain memakai pakaian seragam (celoreng) untuk ke lokasi kejadian bagi mengelakkan salah faham dan ketegangan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan siasatan dari Eropah, antara yang terawal memasuki tempat kejadian juga tidak dibenarkan berada lama di lokasi atas faktor keselamatan.

“Malah, anggota kumpulan pemberontak mengawal rapi setiap pergerakan pegawai pasukan penyiasat yang berada di lokasi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Ukraine sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin pemberontak bagi melakukan gencatan senjata bertujuan memberi laluan proses membawa keluar mayat mangsa dari lokasi kejadian.

Komen


Berita Berkaitan