Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MH17: Abang Mangsa Bersyukur Mayat Berjaya Dikeluarkan Dari Tempat Nahas

abang mangsa

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Keluarga seorang daripada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, bersyukur dengan perkembangan terbaru usaha kerajaan untuk bawa pulang jenazah ke tanah air.

Mohd Zaki Md Salim, 38, berkata berita 282 mayat dibawa dengan kereta api dari Torez ke Kharkivi sebelum diterbangkan ke Amsterdam, memberi harapan untuk membawa pulang jenazah adiknya Mohd Ali, 30, untuk dikebumikan di kampungnya di Pagoh, Johor.

“Saya bersyukur dan terharu dengan kesungguhan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha bersungguh-sungguh dengan pelbagai cara untuk membawa pulang jenazah secepat mungkin ke tanah air.

“Majlis pengebumian jenazah adik saya itu akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Islam Kampung Jayor, Pagoh,” katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Mohd Ali merupakan calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus University Rotterdam di Belanda.

Mohd Zaki berkata MAS turut menawarkan kepada lima anggota keluarganya untuk ke Kiev dalam masa terdekat ini bagi mengikuti perkembangan siasatan secara langsung di sana

“Difahamkan pada hari ini juga, ada wakil daripada MAS akan ke sini (Hotel Marriot) untuk mengambil sampel DNA anggota keluarga mangsa,” katanya.

Awal hari ini, Najib dalam sidang akhbar di Seri Perdana, Putrajaya berkata beliau telah bercakap dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah tempat tragedi itu berlaku dan telah mencapai persetujuan tentang beberapa perkara.

Pertama, 282 mayat, yang ketika ini berada di Torez akan dipindahkan dengan kereta api ke Kharkiv sebelum diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda. Setelah selesai semua kerja forensik, mayat warganegara Malaysia akan dibawa pulang ke Malaysia.

Kedua, pada kira-kira 9 Isnin malam (waktu Ukraine), dua kotak hitam diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk, yang akan menyimpan kotak berkenaan.

Ketiga, para penyiasat bebas antarabangsa akan diberi jaminan keselamatan masuk ke lokasi nahas untuk memulakan siasatan penuh tentang tragedi itu.

Pesawat Boeing 777 MAS membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas pada Khamis di Donetsk, timur Ukraine.

Dipercayai pesawat itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Komen


Berita Berkaitan