Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bermula Hari Ini

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Othman Hashim (empat dari kanan) bersama para delegasi ASEAN pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN 2015 di Kota Kinabalu, hari ini. 
- Foto BERNAMA
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Othman Hashim (empat dari kanan) bersama para delegasi ASEAN pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN 2015 di Kota Kinabalu, hari ini. 
- Foto BERNAMA

KOTA KINABALU – Pegawai kanan ASEAN memulakan mesyuarat di sini hari ini sebagai persediaan untuk Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN esok.

Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) yang dihadiri wakil dari 10 negara anggota, diadakan di Magellan Sutera Harbour Resort dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Othman Hashim.

Delegasi Malaysia juga terdiri daripada Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Mesyuarat itu dijangka berakhir pada 3.30 petang, selepas mesyuarat Kumpulan Kerja Majlis Penyelarasan ASEAN keempat (ACCWG) mengenai Wawasan Komuniti ASEAN Pasca-2015 diadakan.

Difahamkan, pegawai kanan akan membuat susulan, antaranya keputusan yang diambil pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 di Myanmar tahun lalu mengenai pembangunan Komuniti ASEAN dan Wawasan Komuniti ASEAN Pasca-2015, manakala mesyuarat ACCWG dijangka akan membincangkan laporan mengenai perkembangan aktivitinya.

Malam ini, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman akan menjadi hos majlis makan malam bagi meraikan rakan sejawatannya dari ASEAN dan delegasi. Menteri-menteri berkenaan akan bersembang santai pada majlis itu.

Sementara itu, beberapa menteri luar ASEAN dan delegasinya dijadual tiba hari ini untuk menghadiri mesyuarat itu. Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh turut dijangka tiba hari ini.

Secara keseluruhan, kira-kira 200 delegasi dari 10 negara Asia Tenggara dijangka menghadiri Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN dan mesyuarat persediaan lain dari 26 hingga 28 Jan.

Acara persediaan lain seperti Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ASEAN (CPR), berlangsung semalam.

Pemukiman menteri-menteri luar ini adalah yang pertama dalam siri mesyuarat ASEAN di bawah pimpinan Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini.

Malaysia mengambil alih jawatan sebagai pengerusi ASEAN daripada Myanmar mulai 1 Januari lalu.

Wawasan Malaysia sepanjang menjadi pengerusi dengan tema ‘Rakyat Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’ ialah mewujudkan ASEAN berpaksikan rakyat membabitkan semua sektor masyarakat dalam aktiviti kumpulan serantau itu.

ASEAN dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan