Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,740

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mesyuarat Bincang Kaedah Atasi Masalah Gajah Liar Di Tawau Disember Ini

8:14pm 20/11/2016 Pak Roshan 18 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
Gajah liar yang ditangkap diletakkan dalam kandang untuk dipindahkan ke Hutan SImpan. - foto ihsan JHLS

Gajah liar yang ditangkap diletakkan dalam kandang untuk dipindahkan ke Hutan SImpan. – foto ihsan JHLS

KOTA KINABALU : Satu mesyuarat akan diadakan bagi mencari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah kehadiran gajah liar di ladang tanaman kelapa sawit dan perkayuan di Tawau.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata mesyuarat bakal berlangsung awal Disember itu dianjurkan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) yang membuat kajian mengenai gajah liar di kawasan tersebut.

“Selain Jabatan Hidupan Liar Sabah, mesyuarat itu juga akan disertai Sabah Softwoods Berhad (SSB) dan Jabatan Perhutanan Sabah.

“Mesyuarat ini dibuat antara lain untuk membincangkan langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah gajah liar yang berkeliaran di kawasan ladang di Tawau, yang semakin membahayakan keselamatan penduduk dan pekerja ladang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Augustine berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang lelaki warga Indonesia yang maut akibat dipijak seekor gajah ketika sedang bekerja di kawasan ladang kelapa sawit Dumpas, Tawau, baru-baru ini.

Ia kejadian kedua gajah menyerang orang awam pada bulan ini, selepas kejadian pertama membabitkan sepasang suami isteri warga Indonesia yang diserang seekor gajah liar secara tiba-tiba di kawasan ladang perkayuan Brumas di Tawau.

Augustine berkata pasukan jabatannya sudah ditempatkan di lokasi terbabit bagi meningkatkan kawalan sejak insiden pertama pada 9 Nov lepas.

“Masalah ini bukan senang untuk diselesaikan kerana terdapat 30 ekor gajah di kawasan itu. Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Augustine berkata kumpulan gajah itu memang sudah sedia ada di kawasan tersebut tetapi masalah yang timbul sekarang, gajah itu semakin mengganggu dan membahayakan nyawa penduduk.

Beliau berkata terdapat sebahagian ladang memasang pagar elektrik untuk menghalang kumpulan gajah itu memasuki kawasan terbabit, namun ada juga yang tiada kemudahan berkenaan.

Beliau seterusnya berharap mesyuarat itu kelak akan mencapai resolusi terbaik untuk melindungi hidupan gajah serta menjamin keselamatan penduduk.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan