Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Mereka mahu cari RM20 juta, saya kata carilah’

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (kanan) bersama pengikutnya di luar pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disoal siasat agensi itu dari jam 2 petang hingga 6 petang tadi di Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

 

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kononnya menerima RM20 juta daripada pihak tertentu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan dan Ahli Parlimen Keningau, berkata SPRM menghubunginya kelmarin ketika beliau di Tambunan sebelum datang ke rumah dan pejabatnya di Keningau, petang semalam. 

Beliau berkata, anggota SPRM juga datang ke pejabatnya di sini malam tadi untuk menjalankan pemeriksaan sebelum memintanya hadir ke ibu pejabat SPRM Sabah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, petang tadi.

“Ketika mereka (anggota SPRM) memeriksa rumah dan pejabat, saya tanya apa yang mereka cari dan mereka kata mahu cari berkaitan laporan RM20 juta itu. Saya kata carilah.

“Mereka (anggota SPRM) profesional, baik dan saya beri kerjasama. Saya tiada apa mahu disembunyikan. Walaupun saya boleh kata ia hanya buang masa, tapi itu sudah kerja mereka,” katanya ditemui media selepas keluar dari ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Jeffery berkata, beliau disoal siasat berhubung perkara itu bermula jam 2 petang tadi sebelum selesai pada kira-kira jam 6 petang.

Beberapa pengikutnya turut kelihatan menunggu di luar ibu pejabat SPRM Sabah.

Ditanya sama ada SPRM ada mengambil apa-apa dokumen atau barangan ketika memeriksa rumah dan pejabatnya, Jeffrey berkata, sebuah begnya berisi RM80,000 selain kad bank miliknya diambil anggota agensi terbabit.

Beliau berkata, selain rumah dan pejabatnya, rumah seorang lagi wakil rakyat daripada STAR iaitu ADUN Bingkor, Robert Tawik turut diperiksa, petang semalam.

Sementara itu, Jeffrey berkata, SPRM juga perlu menyiasat orang yang menyebarkan berita berkaitan laporan berkenaan.

“Orang yang buat berita ini juga perlu disiasat kerana mereka buang masa orang, wang dan menyusahkan hidup kita apabila SPRM datang ke rumah periksa macam-macam, malah sampai malam dan siasat berjam-jam,” katanya.

Katanya, beliau percaya laporan pihak tertentu di SPRM berkaitan dakwaan itu mungkin ada motif politik tetapi enggan mengulas lanjut. – Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah/BH Online

Komen


Berita Berkaitan