Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mercy Malaysia agih bantuan makanan kepada mangsa banjir

KETUA Misi Mercy Malaysia Sabah Dr Anbarasu Ramalingam (kiri) menyampaikan sumbangan seorang sukarelawan Orang Kurang Upaya yang juga mangsa banjir Penampang Francis Xavier Kinjin, 33, di Kompleks Sukan Penampang hari ini. -Foto BERNAMA

 

PENAMPANG: Mercy Malaysia Cawangan Sabah, hari ini, mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk kampung yang terjejas banjir sejak Khamis lalu, di Penampang di sini.

Pengerusinya, Dr Anbarasu Ramalingam, berkata usaha itu sebahagian objektif Mercy Malaysia untuk memenuhi keperluan masyarakat yang dilanda bencana di samping melaksanakan misi perubatan.

“Hari ini, Mercy Malaysia akan mengagihkan bantuan makanan dalam bentuk barang, makanan kering dan air berikutan banjir kilat yang berlaku di Penampang.

“Kami bekerjasama dengan wakil rakyat setempat untuk memenuhi keperluan penduduk kampung, yang ada antaranya terkandas selama beberapa hari dan ada yang kehilangan bekalan makanan akibat dihanyutkan banjir,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui pemberita di bangunan kolam renang Kompleks Sukan Penampang yang dijadikan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir itu.

​​​​​​​Dr Anbarasu berkata, berdasarkan keperluan yang dinilai oleh pasukan lapangan wakil rakyat setempat, sebanyak 200 kotak air minuman dan 200 pek beras akan diagihkan kepada kira-kira 200 keluarga.

Sementara itu, seorang sukarelawan berkerusi roda turut hadir untuk membantu dalam menguruskan pusat pemindahan itu, yang kini menempatkan tujuh mangsa.

Pusat pemindahan itu mempunyai 13 mangsa banjir ketika ia mula dibuka.

Francis Xavier Kinjin, 33, dari Kampung Dabak dekat sini, dan ibunya dipindahkan ke kompleks sukan itu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, awal pagi semalam, apabila kampungnya dinaiki air.

Berpengalaman 10 tahun dalam kerja sukarela khususnya dalam kejadian banjir, usahawan itu yang dilahirkan tanpa kaki, menawarkan diri untuk menguruskan pusat pemindahan itu.

“Saya seorang daripada kumpulan pertama sukarelawan orang kurang upaya dan saya berkhidmat di bawah Persatuan Sukarelawan Sabah dan Pusat Kebajikan Sukarelawanan Sabah. Biasanya saya membantu menjaga pusat pemindahan ketika banjir,” katanya.

Sebanyak 14 kampung di Penampang terjejas banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak Khamis dengan beberapa kawasan di pantai barat Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Putatan dan Kota Belud, turut terjejas. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan