Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Merancang Ibadah Di Bulan Puasa

4:06pm 06/06/2016 Zakir Sayang Sabah 43 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Menghampiri pengakhiran Syaaban, pasti ramai ternanti-nanti akan kehadiran bulan penuh berkah, Ramadhan. Kalau dulu, kita berpuasa mungkin hanya sekadar meraikan emak ayah dan kakak abang yang  berpuasa. Sekadar ikutan, tiada penghayatan. Jadi bagaimana puasa kita sekarang?

Bulan puasa Allah janjikan seribu macam kenikmatan. Nikmat orang berpuasa ialah kegembiraan ketika berbuka di dunia, dan kegembiraan bertemu Allah di akhirat sana. Dalam bulan puasa, dilipatgandakan segala amal dan dibersihkan harta dengan pemberian zakat fitrah. Orang yang berpuasa juga diajar untuk melatih sifat sabar yakni ketika diberi dugaan atau berhadapan dengan sesuatu yang menimbulkan kemarahan, kita diajar untuk bersabar dan berkata, ‘Sesungguhnya aku berpuasa’.

Bulan puasa tidak asing lagi dengan ibadah-ibadah seperti solat sunat terawih, tadarus Quran, dan zakat fitrah. Ada orang yang sudah merancang untuk ‘tawaf’ masjid pada bulan ramadhan. Ada yang merangka untuk khatam 3 kali sepanjang Ramadhan. Ada pula yang berkira-kira untuk berdiet di bulan Ramadhan. Apa pun perancangannya, kita tetap perlu merancang.

Namun tanpa kita sedar, banyak ‘pencuri’ di bulan Ramadhan. Apa yang saya maksudkan dengan pencuri ialah kekurangan atau ralat pada diri kita yang tidak memungkinkan kita untuk beraksi sepenuhnya di bulan Ramadhan. Kerana itu perancangan awal sangat penting dan perlu ditekankan. Bagaimana kita merancang?

Rancang jadual harian. Jika diikutkan, kita mempunyai banyak waktu lapang ketika Ramadhan. Sebab apa? Sebab kita tidak perlu untuk makan pagi, dan tengahari. Waktu-waktu sebegini boleh kita isi dengan tadarus al-Quran secara khususnya. Kita juga disarankan untuk menunaikan solat sunat rawatib memandangkan kita tidak mempunyai banyak lebihan waktu rehat usai solat zohor. Untuk sebelah malam pula, kita hendaklah berusaha mengosongkan masa untuk berterawih di masjid atau surau berdekatan.

Rancang menu harian. Perkara ini kelihatannya lucu dan remeh untuk dibahaskan, namun ia memberi impak yang besar kepada penggunaan masa kita. Bagi yang memasak, amat penting untuk merancang menu harian supaya kita tidak membuang masa memikirkan apa yang perlu dimasak. Begitu juga halnya dengan mereka yang membeli juadah di bazar atau mana-mana restoran sekali pun. Jika merancang, pilihlah menu yang sihat dan tidak menyebabkan kita terlalu kenyang hingga mengganggu ibadah kita di malam hari. Elakkan makan terlalu banyak ketika sahur, begitu juga ketika berbuka. Besederhanalah menyantuni nafsu makan kita.

Perbaiki bacaan al-Quran. Salah satu perkara yang kita abaikan ialah memperbaiki bacaan al-quran kita setiap hari. Bacaan yang tidak lancar serta lemahnya penguasaan terhadap hukum tajwid secara tidak langsung telah mencuri kenikmatan, yakni rasa seronok  ketika membaca al-Quran. Jika nikmatnya hilang, bagaimana kita mampu mengkhatamkan al-Quran dalam satu bulan? Selain itu, jika objektif kita ialah untuk khatam satu al-Quran, kita perlulah memperuntukkan masa kita untuk membaca tanpa gagal setiap hari di bulan puasa. Oleh itu, perlulah belajar dan memperbaiki bacaan bermula daripada sekarang.

Biasakan diri dengan ibadah-ibadah sunat. Apa-apa ibadah walaupun hanya disunatkan pelaksanaannya tetap dikira pahalanya apabila kita melakukannya. Sesetengah manusia mengira perkara sunat hanyalah sunat malah ia tidak wajib sehingga tiada keazaman untuk tetap istiqamah melaksanakannya. Amat rugi jika kita hanya melakukan perkara wajib tanpa diselitkan dengan ibadah tambahan, kerana mana mungkin kita tahu amal mana yang akan membawa kita ke syurga. Jika pada bulan Ramadhan barulah kita menderu untuk bersolat sunat di malam hari (terawih dan tahajjud), maka kita akan cepat untuk rasa penat dan akhirnya menyiakan malam-malam akhir Ramadhan kita yang disebut-sebut di dalamnya terdapat malam lailatul qadar. Fenomena biasa bagi kita di Malaysia, awal Ramadhan penuh jemaahnya di masjid, akhir Ramadhan penuh jemaahnya pula di shopping complexdan toko-toko pakaian.

Bagi menghidupkan semangat Ramadhan, digalakkan untuk membuat countdown Ramadhan supaya kita sentiasa bersedia untuk menyambut ketibaannya. Sentiasa berdoa moga Allah mempertemukan kita dengan bulan mulia itu dan memberkati kita tidak hanya di bulan Ramadhan, malah pada bulan selepas itu hasil tarbiyyah Ramadhan itu sendiri.

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (2:183)

 

Penulis

Nai’mah binti Isa
Pelajar Tahun 1 Sarjana Sains Pemakanan UPM

(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan