Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Menteri-Menteri Baru Janji Pikul Amanah

kabinet

KUALA LUMPUR — Tujuh menteri baharu dalam barisan
Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini, berikrar menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Mereka ialah Datuk Hamzah Zainudin yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
(Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri
Pendidikan), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi),
Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak (Menteri Komunikasi dan
Multimedia), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).

Perkhidmatan mereka berkuat kuasa esok.

Dalam reaksinya, Mahdzir mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri
di atas kepercayaan beliau melantiknya menyandang jawatan Menteri Pendidikan.

Mahdzir yang juga bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
berkata jawatan itu merupakan amanah besar kerana sektor pendidikan merupakan
tunjang untuk mencapai negara maju.

“(Saya) berazam memastikan sektor pendidikan di negara ini lebih ke
hadapan dan berharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak dalam
menjalankan tugas yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan ringkas
hari ini.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan Anggota Parlimen
Padang Terap mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang pula menyifatkan
pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah sesuatu yang
mengejutkan.

Katanya beliau mengetahui tentang pelantikannya itu menerusi radio.

“Saya terperanjat dengan berita itu tetapi berterima kasih kepada Perdana
Menteri kerana memberi keyakinan kepada saya untuk
menyertai barisan kabinet baharu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari
ini.

Azalina yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS)
berharap pelantikannya itu dapat memberi kekuatan kepada barisan Kabinet
baharu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Azalina pernah berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan
pada 2008 hingga 2009 dan Menteri Belia dan Sukan pada 2004.

Wan Junaidi ketika dihubungi Bernama turut melahirkan rasa terharu dan
berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan beliau melantiknya menyandang
jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Harapan saya untuk selesaikan isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk
pengurusan banjir dan saliran demi kesejahteraan rakyat negara ini.

“Saya akan berbincang dengan agensi berkaitan mengenai perkara ini dan saya
harap kami dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya yang sebelum
ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Wan Junaidi yang juga Anggota Parlimen Santubong mengambil alih
jawatan itu daripada Datuk Seri G. Palanivel. — BERNAMA

 

kabinet-baru

Komen


Berita Berkaitan