Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Menteri dilantik perlu beri keutamaan terhadap pendidikan di Sabah

Masidi (tiga kiri) dan Jame Alip (kedua kiri) melawat gerai rumah tebuka ketika program ramah mesra sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Masidi (tiga kiri) dan Jame Alip (kedua kiri) melawat gerai rumah tebuka ketika program ramah mesra sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU – Pastikan keutamaan dalam meningkatkan bidang pendidikan terus diberi perhatian oleh semua pihak tanpa mengira siapa pun dipilih menerajui Kementerian Pendidikan.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Pendidikan negeri, Datuk Masidi Manjun apabila diminta mengulas mengenai pelantikan Menteri Pendidikan baharu, Datuk Seri Mahadzir Khalid menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada barisan Kabinet Persekutuan.

Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, menambah, pertukaran itu hanya melibatkan kalangan menteri dan bukannya dasar atau polisi sesebuah kementerian.

“Ini kerana, dasar pendidikan negara dibuat berpandukan nasihat dan pendapat daripada semua pihak termasuk pegawai tinggi kementerian, bukan keputusan persendirian seorang menteri penuh.

“Saya percaya bahawa Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak akan melakukan perubahan drastik kecuali untuk tujuan perbaiki mutu pendidikan di negara ini.

“Dalam masa sama, saya juga berharap beliau akan terus memberi keutamaan dalam meningkatkan taraf bidang pendidikan Sabah terutama dalam aspek kemudahan serta peruntukan sewajarnya,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama warga pendidik negeri Sabah.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip dan Timbalannya, Maimunah Suhaibul.

Masidi memberitahu, setiap pemimpin mempunyai perancangan serta visi masing-masing dalam menjadikan sesebuah kementerian itu berjaya mencapai sasaran ditetapkan, justeru sebarang tafsiran terhadap menteri itu perlu dielakkan.

Beliau menambah, sebarang keputusan dan pertimbangan yang dibuat adalah berdasarkan asas yang jelas bagi membolehkan sesuatu perkara tersebut dirombak bagi mencapai matlamat disasarkan.

Katanya, semua pihak perlu menerima dengan hati yang terbuka dengan apa jua keputusan yang dibuat kerana ia dibuat demi kebaikan semua pihak yang mahu melihat peningkatakan dalam bidang pendidikan negara.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai khabar angin berhubung kemungkinan berlaku rombakan Kabinet negeri, Masidi berkata, beliau tidak mengetahui perkara tersebut dan ‘rumors’ itu dikeluarkan oleh pihak media cetak atau syarikat akhbar tempatan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan