Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Menjemput Keberkahan Kembali

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Keberkahan itu adalah pertambahan yang membuatkan kita terus tetap dalam ketaatan kepada Allah s.w.t.

Sesuatu yang bertambah, tetapi tidak membuatkan kita terus taat kepada Allah, ia bukanlah barakah.

Berkah adalah sesuatu yang tidak dapat diukur nilainya dengan mata kasar, tidak dapat dihitung dengan kalkulator atau ilmu matematik, tidak juga dapat diketahui perkiraannya secara tepat mengikut logik akal.

Logiknya hanya ada pada Allah.

Keberkahan adalah bahagian dari tanda keredhaan Allah terhadap hamba-Nya. Keberkahan adalah bahagian dari tanda Allah s.w.t. cinta kepada hamba-Nya. Ia bukan tujuan, tetapi bila dianugerahkan, ia melonjakkan kita dalam amal ketaatan dan membuatkan kita terus istiqamah di atasnya.

Ibarat seorang pekerja yang bekerja penuh kesungguhan, melunaskan tanggungjawabnya dengan baik sehingga dicintai oleh majikannya, lalu bukan sekadar mendapat gaji atas usaha kerjanya, tetapi juga diberikan elaun dan bonus sebagai menghargainya dan juga galakan untuknya terus maju.

 

Dengan Taqwa Menuai Keberkahan

“Sekiranya penduduk sesuatu kampung beriman dan bertaqwa, nescaya Kami bukakan pintu keberkatan dari langit.” [Al-A’raf : 96]

Melalui ayat ini, keberkatan didapatkan lewat 2 syarat :

1)      Beriman

2)      Bertaqwa

Ia adalah apa yang kita cari di dalam Ramadhan ini.

Kita bukan mencari solat tarawikh di dalam Ramadhan ini, tidak juga kita cari makanan yang sedap-sedap untuk penuhkan perut kita yang kelaparan berpuasa seharian, tetapi yang kita cari adalah tujuan tertinggi daripada semua itu iaitu taqwa.

Kegagalan memahami tujuan ini akan membuatkan kita mengutamakan solat tarawikh, tetapi mengabaikan solat fardhu seperti Subuh dan Isya’.

Kegagalan memahami makna utama di sebalik Ramadhan ini akan membuatkan kita sibuk di bazar Ramadhan mencari menu untuk memenuhkan perut-perut kita, tetapi kita mengabaikan makna memberi dan menjadi pemurah dengan menjamu orang lain makan.

Kegagalan meletakkan taqwa sebagai target utama yang perlu dipenuhi tuntutan-tuntutannya menyebabkan kita berpuasa zahir, tetapi mulut kita tidak sepi dari mengata dan mengumpat orang, telinga berkongsi dosa mendengar umpatan dan gosip orang, mata masih tetap terus melihat perkara maksiat walaupun perut sedang berkeroncong kelaparan.

Kita mungkin berpuasa, tetapi kita kehilangan jalan menuju taqwa.

Bila puasa kita tak mampu menyampaikan kita kepada makna taqwa, maka tinggallah puasa sekadar al-ju’ (lapar) dan al-‘athosh (dahaga).

Kita berpuasa, tetapi kita gagal membina perisai dalam jiwa kita dari maksiat dan dosa.

Apakah maknanya puasa kita?

Bila taqwa tidak ada, maka keberkahan pun menjauh dari diri kita.

 

Berkah Dalam Makna Individu Dan Sosial

Kehidupan individu menjadi terumbang-ambing, serba tidak kena kerana kehilangan keberkahan. Banyak harta, tetapi tak cukup-cukup. Kedudukan hebat, tetapi tak puas-puas, cepat prasangka dan hasad pada orang lain. Jawatan hebat, tetapi makan rasuah.

Kehidupan sosial juga menjadi kacau kerana hilang barakah.

Sebagaimana masyarakat sosial di zaman Nuh, dimusnahkan oleh banjir kerana menolak beriman kepada Allah.

Sebagaimana kaum Soleh, yang ingkar kepada arahan Nabinya kerana tamakkan keduniaan dengan menyembelih unta yang keluar dari bukit. Akhirnya mereka itu dimusnahkan oleh Allah dengan pekikan suara yang kuat.

Sebagaimana halnya juga kaum Luth, yang melakukan perkara luar fitrah dengan melazimi homoseksual sehingga keberkatan dicabut dari negeri itu, lalu dimusnahkan mereka itu dengan diterbalikkan bumi.

Zahirnya dimusnahkan oleh azab Allah. Tetapi sebelum azab Allah singgah melenyapkan mereka, bumi mereka itu masing-masingnya telah hilang keberkahan kerana setelah berkali-kali diberi peringatan, mereka ingkar dan terus-menerus melakukan kemaksiatan. Bumi pun tidak redha di atasnya berdiri orang yang berkeras atas kemaksiatan mereka.

Kemaksiatan menjauhkan mereka dari iman kepada Allah. Kalau dengan iman pun jauh, apatah lagi taqwa.

Kerana kehilangan iman kepada Allah, ditambah pula sikap berkeras atas kemaksiatan mereka, maka akhirnya mereka itu diazab oleh Allah.

Di dalam ummat kita yang ditangguh azabnya, apabila keberkahan ditarik, pastilah ia meninggalkan kita dalam bentuk yang menakutkan. Azab tidak turun, tetapi kita teruji dengan politik yang bersimpang siur, ekonomi yang bermasalah, agama yang dipergunakan, sosial yang rosak serta ramai orang mahu membuka mulut tetapi mengabaikan fikir dan adab.

 

Penutup : Menjemput Semula Berkah Yang Menjauh

Keberkahan menjauh apabila kemaksiatan berleluasa. Lebih dahsyat apabila tidak merasai maksiat adalah satu kesalahan dan dosa, bahkan dipandang sebagai satu kebiasaan pula, baik dalam peringkat individu, keluarga sesama ibu ayah mahupun dalam masyarakat yang besar.

Ramadhan ini, marilah kita perbaiki diri kita, kembali kepada Allah, minta ampun atas segala dosa-dosa kita, tinggalkan segala dosa maksiat kita.

Tidak mungkin keberkahan dituai dengan hanya melakukan kebaikan, tetapi tidak meninggalkan kemaksiatan.

Jemputlah semula keberkahan hadir di dalam hidup kita, keluarga kita dan masyarakat kita.

Banyak yang serba tak kena dan lintang pukang apabila keberkahan menjauh dari masyarakat. Politik bermasalah, ekonomi merudum teruk, sosial runtuh.

Ramadhan ini, jemput semula keberkahan kembali dengan menggapai taqwa.

Mintalah syurga, mintalah dijauhkan dari api neraka.

Menjauhlah kita dari maksiat dan dosa, lazimilah kebaikan nan bercahaya.

Ajaklah masyarakat sekitar bersama, membaiki diri kembali kepada Ilahi.

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman Che Ani)

Komen


Berita Berkaitan