Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mengapa Masa Begitu Mahal Buat Adik-Adik Remaja

11:34am 28/10/2016 Zakir Sayang Sabah 84 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Masa tidak pernah kembali. Masa yang telah berlalu tidak boleh diputar semula. Masa untuk masa depan juga belum pasti ada. Masa yang pasti adalah hari ini. Masa di mana kita sedang berada sekarang. Dikatakan masa yang terbaik adalah masa muda. Jika anda seorang remaja, inilah nasihat saya tentang masa buat anda.

1. Masa Mudamu Sebelum Tua

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ;

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.”

Riwayat Al-Hakim & Al-Baihaqi

Masa muda adalah masa di mana tubuh anda masih kuat dan masih sihat. Anda belum lagi merasa sakitnya melakukan ibadah semasa tua iaitu di mana tubuh anda tidak mampu lagi menampung diri sendiri. Anda boleh berpuasa malah kuat untuk berpuasa sunat. Anda juga kuat untuk bangun di tengah malam dan melakukan solat sunat tahajud. Pada masa ini, kebanyakan daripada anda belum lagi memikul tanggungjawab yang besar seperti menjadi ketua keluarga. Anda mempunyai begitu banyak ruang dan peluang untuk melakukan yang terbaik sebagai khalifah di bumi Allah.

2. Lebihkan Ibadah Semasa Masih Lagi Muda

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“ Tidak akan bergeser kedua kaki anak Adam di hari kiamat dari sisi RabbNya hingga dia ditanya tentang lima perkara (yaitu): tentang umurnya untuk apa ia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa ia digunakan, tentang hartanya dari mana ia dapatkan, dan dalam hal apa saja yang telah ia amalkan dari ilmu yang dimilikinya.”

Riwayat Al-Tirmidhi

Mengetahui kekuatan yang dimiliki remaja, lantas syaitan membisikkan kata-kata yang melalaikan. Dikatakan kepada remaja agar menjadikan zaman muda sesuatu yang menyeronokkan dengan hiburan dan perkara sia-sia.

“Kau masih muda. Nanti bila sudah tua, berubahlah.” Itu yang dibisikkan oleh syaitan. Kita pun berlengah-lengah dan menangguh-nangguh sehingga terlupa kematian itu menjemput tanpa menunggu usia dan masa. Bukti kematian pada usia muda terlalu banyak. Malah penyakit juga boleh menjangkiti sesiapa sahaja walaupun baru sehari lahir di dunia.

Jika anda mendekatkan diri dengan Allah semasa muda, Islam akan berada di dalam hati sehingga usia tua anda. Dengan izin Allah, Islam yang anda pelajari dan diri anda menjadi semakin baik seiring dengan usia. Namun, jika anda bermula pada usia senja, akan ada begitu banyak cabaran yang harus anda tempuhi termasuk keikhlasan dalam amal kebaikan. Hendak membentuk diri memerlukan kekuatan dan istiqamah. Oleh itu, didiklah hati seawal mungkin.

Pasti anda pernah mendengar “melentur buluh biar dari rebungnya”. Kata-kata ini penuh dengan hikmah. Membentuk diri melakukan sesuatu pada masa muda akan menjadi lebih mudah dan lebih baik apabila usia meningkat. Kerana itu juga, pengalaman sering disebut sebagai lebih bernilai berbanding usia.

3. Golongan Yang Mendapat Naungan Allah SWT

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ;

“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. (1) pemimpin yang adil, (2) seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, (4) dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata “Aku takut kepada Allah”, (6) seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta (7) seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.”

Sahih Bukhari

Begitu penting peranan orang muda sehingga tersenarai di dalam tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak. Ini kerana usia muda seperti anda adalah usia yang begitu berharga dalam membuat pelbagai kebaikan . Anda juga diibaratkan seperti kuda yang tangkas berlari, seperti mawar yang sedang berkembang mekar.

Justeru itu wahai adik-adik remaja , jika anda mampu menjaga diri sebaik-baiknya dan menjaga ibadah, maka anda sehebat pemuda Ashabul Kahfi. Iman mereka menolak kezaliman dan cinta mereka kepada Allah terlalu meninggi, lalu aqidah mereka terselamat di dunia mahupun di akhirat.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan