Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,825

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mengapa Cepat Berpuas Hati?

9:48am 09/12/2015 Zakir Sayang Sabah 11 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Wahai orang yang telah terhalang cahaya Allah sampai kepada hatinya di hari-hari lepas, wahai orang-orang yang terpedaya dengan kesejahteraan hidupnya hari ini sedangkan dia pernah berhari-hari lalai dan bermaksiat kepada Allah.

Pintu taubat memang sentiasa terbuka luas untuk dirimu, untuk kita semua.

Barangkali semalam engkau telah menyesali perbuatan lepasmu, menyesali kelalaianmu yang banyak di waktu lampau, lalu engkau pun memilih meluangkan masamu untuk bertaubat kepada-Nya.

Namun, apakah engkau merasa telah cukup dengan taubat semalam atas dosa dan kelalaianmu yang berhari-hari lamanya, bahkan bertahun, di waktu lampau?

 

Cepat Berpuas Hati Adalah Tanda Keterperdayaan

Mengapa cepat merasa selesa dengan taubat diri sendiri, sedangkan Nabi s.a.w. yang maksum tidak meninggalkan walaupun sehari, melainkan akan bertaubat, beristighfar 70-100 kali kepada Allah?

Mengapa cepat merasa puas dengan amal kebaikan yang kita lakukan hanya dalam sekitar 1 jam sehari sedangkan berjam-jam lamanya dalam sehari kita dalam keadaan lalai?

Mengapa cepat merasa puas dengan taubat sendiri sedangkan Kaab bin Malik yang terlalai seketika itu pun sehingga tidak menyertai perang Tabuk bersama Rasul s.a.w., lalu telah menyebabkan dia menanggung seketika ujian hidup terasing dalam masyarakat muslim?

Mengapa cepat merasa puas dengan taubat sendiri sedangkan Ammar bin Yasir ketika terpaksa mengucapkan kalimah kufur untuk menyelamatkan dirinya, pantas berlari terus bertemu Rasul s.a.w. dalam keadaan menangis-nangis merisaukan keadaan dirinya?

Betapalah banyaknya hari-hari kita berlalu dalam keadaan kita lalai lupa kepada Allah s.w.t., melambat-lambatkan suruhan-Nya, tidak khusyuk dalam solat dan doa kita, kita tidak serius mengambil pedoman dari Al-Quran, banyak masa dalam keadaan lagha lebih daripada mengingati-Nya, hubungan lelaki perempuan yang tidak kita endahkan, kemalasan dan kecuaian kita, ketirisan amanah kita.

Kalaulah kita menjadikan para sahabat Nabi s.a.w. sebagai timbangan kekerapan dan cara kita bertaubat, nescaya kita akan tersangat malu kerana cepatnya kita berpuas hati dengan taubat kita sedangkan para sahabat yang lebih dekat dengan Rasul s.a.w., lebih kemuliaan mereka, namun mereka itu begitu sensitif, tidak mudah berpuas hati dengan diri mereka.

 

Dengarlah Ibnul Jauzi Berpesan

Ibnul Jauzi menukilkan kata-kata yang cukup menusuk jiwa ketika memesan kepada kita agar tidak cepat merasa puas hati dengan taubat kita. Katanya :

“Jangan berpuas hati dengan taubatmu melainkan kau telah melalui kesedihan ‘Yaakub’, atau kecelikan ‘Yusuf’ menjauhi hawa, kalau engkau tidak mampu dengan kedua-dua itu, maka dengan rasa hina pada diri saudara-saudara Yusuf di hari (mereka berkata padanya) ‘bersedekahlah kepada kami’.” [Al-Lathaif, Ibnul Jauzi]

Ibnul Jauzi punya kedalaman dan kehalusan dalam pemilihan perkataannya. Barangkali kerana terkesan dari jiwanya yang halus, jujur dengan Allah s.w.t.

Kesedihan ‘Yaakub’ adalah kesedihan yang amat sangat kerana kehilangan kesayangannya, iaitulah Yusuf a.s. kerana diperlakukan perbuatan tidak baik oleh saudara-saudaranya. Sebagaimana kesedihan Yaakub itu, begitulah kesedihan yang kita perlu cuba untuk rasai dalam jiwa kita kerana telah banyak waktu-waktu dalam hidup kita, kita kehilangan kesayangan kita, iaitulah Allah azza wajalla.

Kecelikan ‘Yusuf’ menjauhi hawa adalah bertaubat itu tidak cukup hanya dengan istighfar, doa dan solat sahaja. Lebih daripada itu, adalah kita sendiri akhirnya memilih dengan tindakan kita, untuk diri kita menjauhi maksiat dan ajakan hawa kepada keburukan. Sebagaimana Yusuf memilih untuk dirinya sendiri menjauhi maksiat ketika godaan dan segala faktor maksiat telah tersedia di depannya.

Kalau tidak mampu dengan kedua-dua ini, dengan rasa hina yang ada pada diri saudara-saudara Yusuf ketikamana mereka berada di depan Yusuf di saat baginda sudah menjadi menteri pada ketika itu. Saudara-saudaranya datang meminta bantuan makanan, kemudian Yusuf menyiapkan rancangan untuk menahan adik kandungnya supaya tidak dapat pulang bersamanya yang menyebabkan akhirnya saudara-saudaranya harus terpaksa meminta dengan penuh rasa hina di depan orang yang mereka pernah khianati satu ketika dahulu. Iaitulah dengan kata mereka ‘sedekahlah pada kami’.

Perasaan hina ini yang kita cuba ingin rasai, meminta ampun kepada-Nya dalam keadaan kita tahu kita tidak ada apa-apa di depan-Nya, kita telah banyak mengkhianati-Nya di hari-hari lepas. Kita berharap bahawa Allah masih sudi mengampunkan dan memandang kita serta tidak membiarkan kita.

 

Penutup : Mulakan Dan Tutup Hari Dengan Taubat

Setiap hari, mulakan hari kita dengan taubat dan tutuplah ia juga dengan taubat. Biasakan diri kita agar kalau ada satu hari lisan kita tidak menyebut istighfar, tidak meminta ampun kepada Allah, lisan kita akan terasa janggal.

Berdirilah, duduklah, sujudlah, menangislah di depan Allah s.w.t. dengan penuh kejujuran atas dosa-dosa dan banyaknya kelalaian kita, sehingga barangkali atas kelalaian kita ini, menyebabkan ummah statik dalam keadaan mundur tidak maju-maju.

Jangan mudah merasa puas dengan taubat kita. Selagi hayat masih ada untuk kita, jangan pernah lekang diri kita dengan makna taubat dalam jiwa kita, dalam hidup kita.

Mintalah ampun kepada Allah untuk membersihkan hati kita selalu, melapangkan jiwa dan akal kita, serta mencerahkan jalan kita daripada dunia menuju akhirat.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan