Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Menerbangkan Dron Tanpa Kebenaran 1 Ancaman Terhadap Keselamatan

dron

KUALA LUMPUR – Tindakan menerbangkan dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) boleh mengancam keselamatan awam, membahayakan operasi penerbangan dan keselamatan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata ia juga melanggar privasi orang ramai.

Selasa lalu, DCA mengeluarkan amaran melarang tindakan menerbangkan dron atau UAV di kawasan lapangan terbang kerana ia merupakan kesalahan mengikut Akta Penerbangan Awam 1969.

Tindakan segera itu diambil berikutan foto dari udara dipercayai dirakam melalui penggunaan dron memaparkan dua pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang untuk mendarat, menjadi viral setelah dimuat naik di laman media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai dan kemarahan warga Internet yang berpandangan bahawa penggunaan dron di KLIA itu membahayakan dan boleh mengakibatkan nahas udara.

“Kita khuatir ia boleh membawa kamera atau barang yang tidak diingini dan terbang di tempat larangan, tempat-tempat sulit seperti kawasan rumah pemimpin negara, penjara, atau di sekitar kawasan fasiliti kerajaan yang akhirnya boleh menggugat keselamatan orang awam,” katanya kepada Bernama.

Azharuddin berkata penyalahgunaan dron juga mampu menjurus kepada berlakunya situasi pencerobohan terhadap hak privasi apabila pengguna merakam video atau gambar tanpa kebenaran.

“Sebenarnya dron tidak boleh terbang bukan sahaja di lapangan terbang, malah di kawasan yang mempunyai ramai orang tanpa kebenaran DCA,” katanya.

Beliau berkata DCA mewajibkan setiap dron yang ingin terbang untuk memohon kebenaran supaya penerbangan dron itu dapat dipantau dari segi jarak dan ketinggian agar tidak membahayakan ruang udara.

“Kalau terbang di kawasan orang ramai dan dron itu mempunyai masalah hingga menyebabkan ia jatuh tentu memburukkan keadaan, tujuan kita beri kebenaran supaya kita dapat pantau penerbangan dron itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat banyak kebaikan yang diperoleh daripada penggunaan pesawat kawalan jauh itu yang kini mudah didapati dengan harga berpatutan.

“Saya tak nafikan ada kebaikannya penggunaan dron ini seperti waktu bencana banjir yang melanda negara tempoh hari, dron digunakan untuk terbang ke kawasan yang terputus hubungan dan sukar untuk penghantaran bantuan,” kata Azharuddin.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan kesedaran peminat dan pemilik dron, DCA akan mengadakan satu taklimat khas dalam masa terdekat yang akan memperincikan peraturan dan larangan terhadap penggunaan dan operasi penerbangan dron dan UAV.

Azharuddin berkata sesi khas oleh DCA tentang penggunaan dron atau UAV juga akan diadakan di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi Ke-13 (LIMA ’15) yang bermula pada 17 hingga 21 Mac depan.

Katanya DCA juga kini sedang mengkaji semula pembaharuan terhadap Pekeliling Maklumat Aeronautika (AIC) 4/2008 yang akan ditambah dengan peraturan baharu berkaitan penggunaan dron.

Sementara itu, pengarah eksekutif sebuah syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan sinematografi resolusi tinggi pemetaan udara menggunakan dron, Khairul Ariffin Mohd Aris berkata taklimat itu nanti dapat meningkatkan kesedaran pengguna mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata sebagai pengguna dron untuk tujuan komersial, pihaknya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan DCA berbanding pihak yang menggunakan dron sebagai hobi yang ternyata kurang jelas mengenai peraturan penggunaan UAV ini.

“Kami yang menggunakan dron untuk tujuan komersial memang sedia maklum berhubung peraturan DCA tentang penggunaan dron ini,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan