Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mendirikan Rumahtangga Di Awal Usia. Bahagiakah Yang Dirasa?

10:02am 28/11/2016 Zakir Sayang Sabah 86 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Bernikah, berkahwin atau kata lain mendirikan rumahtangga merupakan sebuah proses yang sangat kompleks yang memerlukan persediaan fizikal,bahkan mental yang tinggi.

Perihal perkahwinan mempunyai banyak pandangan di sisi masyarakat. Ada sesetangah pihak yang melihat perkahwinan memerlukan adat tertentu yang membantu kebahagiaan sesebuah perkahwinan.

Tidak kurang yang mengaitkan perkahwinan yang sesuai adalah pada umur tertentu, lantaran faktor umur sebagai kayu ukur yang begitu penting. Dan disebabkan itulah, ‘perkahwinan di usia muda’ dipandang dengan pelbagai pendapat.

Ada yang bersetuju dengan golongan muda yang berkahwin di awal. Tetapi ramai juga yang menentang, atas alasan pada usia tersebut masih belum mampu melayari sebuah perkahwinan.

Hari ini, banyak ibu bapa yang mahu anaknya menamatkan pengajian terlebih dahulu, tak kurang yang mahu membina kerjaya yang lebih berjaya sebelum berkahwin. Ini seolah- olah melihat perkahwinan muda sebagai suatu penghalang.

Padahal, terdapat banyak kelebihan jika berkahwin di usia muda, antaranya;

1# Menunaikan Tuntutan Agama

Allah menciptakan manusia ini secara berpasangan dan menyarankan umatnya untuk segera bernikah sekiranya cukup syarat-syaratnya.

Dengan menikah dapat meningkatkan ketakwaan kepada Alalh SWT, selain banyak lagi keistimewaan yang diperoleh. Seperti sabda Rasulullah SAW;

“Sesiapa saja menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Hendaklah ia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi.”

Hadis Riwayat at-Thabrani dan Hakim

Pernikahan juga termasuk dalam amalan sunnah kerana bakal meramaikan keturuan umat Islam di muka bumi.

2# Elak zina dan Menjaga Batas pergaulan

Perkahwinan adalah salah satu langkah terbaik mengelak fitnah terutamanya dalam zaman serba moden yang sangat ‘mendekatkan’ manusia. Mangsanya adalah golongan muda-mudi yang berpasangan tanpa apa-apa ikatan sah, bukankah ini pembangkit nafsu dan pencetus kepada zina?

Pernikahan dapat menundukkan pandangan dan kemaluan, serta menjauhkan dari perbuatan zina yang sangat dimurkai oleh Allah;

Bagi golongan wanita yang bernikah pula, mereka sudah mempunyai sorang suami sebagai penjaganya yang pasti mengelakkannya dari gangguan lelaki lain.

Sabda Rasulullah SAW yang mengingatkan kita;

“Wahai para pemuda! Siapa saja di antara kalian berkemampuan untuk nikah, maka nikahlah, kerana menikah itu lebih mudah menundukkan pandangan dan lebih membentengi farji (kemaluan). Siapa saja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu dapat membentengi dirinya.”

Hadis Riwayat Bukhari

3# Lebih Bertanggungjwab Dan Matang

Pernikahan juga mampu menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab, selain membuatkan tindakan dan fikiran mereka matang.

Ini kerana pernikahan juga dianggap sebagai turning point dalam mengubah diri menjadi insan yang lebih baik. Contohnya, sikap bermalasan semasa bujang akan diubah kerana ingin menunjukkan watak yang lebih baik kepada keluarga mentua, bahkan solat juga didirikan secara berjemaah kerana sudah ada pasangan selepas berkahwin.

Penikahan juga dapat mengubah hidup seseorang yang sebelumnya tidak terurus kepada pembahagian masa yang sebaiknya bersama-sama pasangan. Bahkan lebih bermotivasi untuk berjaya dalam kehidupan.

4# Perancangan Keluarga

Pasangan yang berkahwin muda dapat membuat perancangan keluarga yang lebih baik. Mereka boleh merancang untuk memiliki zuriat (dengan izin Allah) seterusnya merancang masa depan keluarga dengan lebih awal.

Pasangan yang berkahwin pada usia muda sebenarnya beruntung kerana boleh menjaga anak mereka di usia muda yang masih cergas

Apabila umur mencecah 30-an, anak-anak sudah membesar. Bahkan ketika usia mencecah awal 40-an, sudah ada anak yang menamatkan pelajaran. Pasangan juga dilihat tidak perlu kelam kabut dan terburu-buru.

Di samping itu, menurut kajian perubatan antara punca utama kes kemandulan adalah disebabkan kaum wanita yang lambat berkahwin, iaitu dalam lingkungan 35 tahun ke atas. Usia yang lanjut juga dikatakan menjejaskan kandungan sewaktu hamil.

5# Menambah Keberkatan Hidup Dan Rezeki

Hidup lebih berkat dengan adanya hubungan yang sah. Walaupunn dengan ekonomi hari ini yang memerlukan kestabilan kewangan, tetapi Allah SWT sudah menjanjikan rezeki yang semakin bertambah bagi golongan yang berkahwin.

“Nikahkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (nikah) dari hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui.”

An-Nur : 32

6# Lebih Tenang Dan Membahagiakan

Salah satu tujuan Allah SWT memerintahkan untuk berumahtangga adalah untuk mengurniakan kebahagiaan dan ketenangan. Apabila bahagiannya sesuatu rumahtangga itu pasti memberi kesejukan dan kedamaian kepada pasangan.

Selain mendapat ganjaran pahala, pernikahan akan membuatkan hidup seseorang itu lebih bermakna. Disebabkan itulah Allah mengajarkan umatnya untuk memohon kepadaNya agar dikurniakan pasangan yang soleh sebagai pedamping yang membahagiakan.

Allah SWT menerangkan dalam firmanNya;

“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(small>Ar-Rum : 21

Oleh itu, segeralah bernikah bagi melengkapkan separuh daripada agama Allah.

Jika menanti sehingga menjadi seseorang yang benar-benar sempurna untuk bernikah, pasti peluang itu tidak tidak dapat dirasai selamanya.

Ini kerana pernikahan adalah gelanggang yang mengajar kepada pasangan akan makna sebuah perkongsian.

Kebahagian yang sebenar adalah apabila ianya dibina oleh diri sendiri dengan penuh ikhlas. Pasti Allah membalasnya dengan nikmat kebahagian yang diingini.

(Sumber: Tazkirah.net)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan