Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,670

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mendidik Diri Bersederhana Meraikan Syawal

10:22am 15/07/2016 Zakir Sayang Sabah 15 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Alhamdulillah pada hari ini umat Islam telah pun meraikan kedatangan bulan Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri.  Tentunya kita selaku umat Islam berasa seronok dan gembira dengan kedatangannya dan berasa sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan keberkatannya.

Di saat inilah umat Islam patut merebut peluang terakhir untuk mempertingkatkan lagi amal ibadah untuk memperolehi ganjaran yang berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.  Ini kerana kita tidak tahu samada kita akan dipertemukan lagi dengan Ramadan yang akan datang atau pun tidak.

Dalam meraikan kedatangan Syawal sudah tentu pada ketika ini sebahagian besar di antara kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri, antaranya persiapan untuk pulang berhari raya di kampung halaman, persiapan menyediakan keperluan seperti pakaian baharu, menghias rumah, menyediakan kuih-muih dan sebagainya. Semua ini adalah semata-mata untuk meraikan hari raya agar disambut dalam suasana gembira.

Dalam keseronokan kita meraikan Syawal yang bakal menjelang, satu aspek yang tidak kurang pentingnya untuk dihayati ialah menyambutnya dengan cara mendidik diri untuk bersederhana. Persoalannya sekarang ialah sejauhmanakah usaha kita dalam menjalani ibadah puasa ini benar-benar mampu mendidik dan membawa perubahan dalam diri untuk bersederhana terutamanya dalam berbelanja? Adakah kita sudah kenal pasti perkara-perkara yang menjadi keperluan dalam bajet hari raya nanti?

Walaupun kita disunatkan berhias dan bergembira pada hari raya tetapi ia bukan bermakna kita boleh berlebih-lebihan melampaui batasan kemampuan diri, sebaliknya kita perlu bersederhana dan berbelanja mengikut kadar kemampuan masing-masing, berjimat cermat dan tidak boros.

Begitu juga, janganlah kita terlalu mengikut ‘mood’ atau kehendak hawa nafsu dengan sikap ingin menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah, berbelanja melebihi keperluan sehingga kita sanggup berhutang. Akhirnya kita dibebani hutang dan tidak mampu untuk membayarnya. Oleh itu, persiapan untuk menyambut hari yang mulia ini perlu dilakukan dengan perancangan yang betul agar kita tidak ‘pening kepala’ atau ‘pokai’ dalam menanggung hutang piutang selepas hari raya nanti.

Namun begitu, ada juga umat Islam yang sanggup berhutang untuk menyambut Syawal dengan alasan didorong oleh keseronokan menyambut Aidilfitri setahun sekali dan ada juga yang sanggup berhabis-habisan dengan bonus raya yang diberikan baru-baru ini demi untuk beraya sakan. Tidak kurang juga yang sanggup berbelanja melebihi kemampuan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain terutama apabila pulang berhari raya di kampung tanpa memikirkan kesan kepada aspek kewangan kelak.

Sebagai umat Islam, tidak perlulah kita berlebih-lebihanatau bermegah-megah berbelanja sehingga membawa kepada sifat riyak lebih-lebih lagi membawa kepada pembaziran. Allah SWT mengingatkan bahawa orang-orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 yang bermaksud, “Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing. Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Sebenarnya kita menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah bertujuan untuk meraikan kemenangan kita yang telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Dalam hal ini Islam menggariskan panduan tentang cara bagaimana kita meraikan Hari Raya agar semua yang kita lakukan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Misalnya,di malam hari raya kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah melaungkan kalimah-kalimah takbir, tahmid, bersolat tasbih, berdoa, berzikir dan sebagainya. Kerana itu, janganlah kita merayakan malam hari raya tersebut dengan membazirkan wang dengan membakar mercun atau melakukan perkara-perkara yang merugikan diri yang boleh mendatangkan bahaya dan mengganggu ketenteraman orang ramai seperti berlumba di jalan raya dan sebagainya.

Manakala di hari raya pula kita disunatkan untuk bersederhana dengan memakai pakaian yang baharu, memakai bau-bauan yang harum, menunaikan sembahyang sunat hari raya dan diikuti dengan amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai sambil bermaaf-maafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

Dalam masa yang sama kita juga digalakkan untuk bersederhana terutama dalam menjamu selera. Kita hendaklah berpada-pada dalam menjamah hidangan yang disediakan di rumah terbuka dan makan sekadar yang perlu dengan keperluan diri sahaja. Begitu juga sebagai tuan rumah kita juga perlu merancang apakah menu hidangan yang sesuai kepada tetamu agar hidangan tersebut tidak terlalu banyak sehingga berlaku pembaziran yang dibenci oleh Allah SWT.

Akhir sekali, moga dengan kedatangan Syawal tahun ini dapatlah kita mendidik diri dan ahli keluarga meraikannya dengan cara sederhana di samping terus mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam. Didoakan juga agar kita semua diberi keberkatan dan keampunan serta dipanjangkan usia bertemu dengan Ramadan akan datang. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri maaf zahir batin.

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Nor Hartini binti Saari)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan