Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Menang dua kerusi awal suntik semangat BN – Adenan

12:11pm 25/04/2016 Pak Roshan 233 views Mutakhir,Politik
Reaksi calon Barisan Nasional (BN) N3 Tanjung Datu, Tan Sri Adenan Satem (tengah) selepas selesai proses penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 di Dewan Masyarakat Lundu pagi ini. - Foto BERNAMA

Reaksi calon Barisan Nasional (BN) N3 Tanjung Datu, Tan Sri Adenan Satem (tengah) selepas selesai proses penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 di Dewan Masyarakat Lundu pagi ini. – Foto BERNAMA

LUNDU: Kejayaan Barisan Nasional (BN) Sarawak memenangi dua kerusi tanpa bertanding setakat ini masing-masing di Bukit Sari dan Bukit Kota, adalah isyarat jelas penerimaan rakyat terhadap keupayaan Tim Adenan melaksanakan agenda pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata kemenangan dua kerusi itu, masing-masing disandang Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dr Abdul Rahman Ismail, turut disifatkan sebagai penyuntik semangat kepada BN Sarawak untuk memperoleh kejayaan lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

“Kita sudah menang dua kerusi (tanpa bertanding) hari ini yang jelas membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat terhadap BN Sarawak. Di beberapa kerusi pula, berlaku pertindihan antara parti pembangkang dan terpaksa bersaing sesama sendiri.

“Ia tentunya menjadi kelebihan BN Sarawak untuk mengekalkan penguasaan di kerusi lain, terutama di kerusi tradisi, selain melaksanakan misi menawan semula beberapa kerusi yang ditawan pembangkang sebelum ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Rumah Rehat Kerajaan, di sini sebentar tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata manifesto pilihan raya yang bakal dilancarkan esok adalah bersifat inklusif merangkumi kejayaan pembangunan dilaksanakan sebelum ini dan perancangan pembangunan masa depan yang tentunya memberi kesan cukup signifikan terhadap rakyat.

“Tempoh dua tahun ini tidak cukup. Jadi, saya perlukan lima tahun lagi untuk melaksanakan agenda itu. Ini akan kita zahirkan melalui manifesto yang akan kita umumkan esok,” katanya.

Sementara itu, Najib sambil mengucapkan tahniah kepada Adenan di atas kejayaan awal berkenaan, berkata kerapuhan pakatan pembangkang, termasuk kegagalan mereka mencapai konsensus berhubung proses pengagihan kerusi jelas membuktikan ketidakupayaan mereka menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu berkhidmat kepada rakyat.

“Kita sudah menang dua kerusi hari dan akan menang banyak lagi. Dari peringkat awal lagi, pembangkang tidak mampu mencapai konsensus dan pengundi tidak sepatutnya menyokong mereka.

“Kita perlu ingat…. undi ini adalah jaminan masa depan kita yang lebih makmur dan sejahtera untuk Sarawak. Jika kita mengundi pembangkang, apakah kita mahu kerajaan yang rapuh,” katanya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan