Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Memupuk Rasa Cukup Dengan Apa Yang Ada

Gambar Hiasan

 

Qanaah itu di hati. Mereka yang bersifat qanaah adalah orang yang mewah dengan nikmat Allah.

Qanaah bermaksud berpuas hati (reda dan bersyukur) dengan rezeki yang diberikan Allah.

Terutamanya yang di luar kemampuan untuk diusahakan atau setelah diusahakan.

Namun jangan salah faham, berpuas hati di sini adalah terhadap rezeki yang ditetapkan, bukanlah menyerah kalah. Orang qanaah ini mereka bersifat optimis, positif dan bersedia untuk berubah.

Kenapa perlu dipupuk sifat ini dalam diri kita? Kerana manusia secara tabiatnya tidak qanaah.

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; (Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.” (Surah Al-Ma’aarij: ayat 19-21)

Jadi jom melatih diri untuk bersifat qanaah!

Hendak kaya jiwa bukanlah mudah. Perlu proses dan jika telah mencapainya, kita akan ‘senang’ sampai bila-bila.

  • Perlu ada ilmu. Fahami hakikat kehidupan dan rezeki. Rezeki akan ada untuk setiap orang yang berusaha. Allah sangat bijak dalam memberi rezeki kepada semua hamba-Nya.
  • Antara amalan yang boleh diamalkan untuk memupuk rasa qanaah dalam diri adalah hadirkan rasa itu dahulu. Jangan membazir atau melampau dalam berbelanja. Jangan terlalu mudah terpengaruh dengan tawaran jualan. Selain daripada itu, perlu sentiasa rendah hati di samping melihat mereka yang lebih susah hidupnya berbanding diri. Belajarlah daripada kisah Nabi, para sahabat dan tabiin.

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. “ – (Al-Nahl ayat 18)

Kelebihan bersifat qanaah

  • Dicintai Allah. Allah tidak akan mengecewakan orang yang bergantung harap dengan-Nya.
  • Dihormati manusia. Terpelihara kehormatannya kerana tidak meminta-minta malah tidak pula kedekut.
  • Terhindar daripada rasa bimbang dan sedih. Sebab yakin dengan hikmah setiap sesuatu yang berlaku.
  • Hidup dirasakan seronok kerana melihat baik dalam setiap ujian dan pemberian Tuhan.
  • Merasai kemanisan iman dan terhindar daripada dosa. Ini kerana mereka tidak akan sanggup menzalimi orang lain dengan rasuah mahupun sifat tamak dan dengki.

Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah kaya itu dengan memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Masya-Allah, bertuahnya sesiapa yang memiliki rasa qanaah. Jom berdoa selalu agar dikurniakan sifat ini!

Hakikatnya qanaah diperlukan setiap orang mukmin. Seperti kata Hasan al-Basri; “Kehidupan yang baik itu ialah qanaah.”

Ini bukan tentang kita kaya, miskin, berharta atau tidak, namun lebih kepada memupuk rasa tenang dan bersyukur sebagai hamba-Nya. Moga kita semua memperolehi kaya jiwa! Insya-Allah.

(Sumber: iluvislam oleh Anem Arnamee)

Komen


Berita Berkaitan