Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Memperbanyakkan bilangan calon Wanita Muda dalam PRU 14- Salmi

9:05pm 06/08/2016 Elezebeth Esther Onjining 35 views Politik,Tempatan

KOTA KINABALU- Ketua Puteri Umno Kota Kinabalu, Salmi Sarinoh mencadangkan agar memperbanyakkan bilangan calon Wanita Muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurut Salmi, Puteri Umno berjaya membuktikan kemampuannya dalam menggalas segala tanggungjawab yang diberikan demi memenuhi matlamat utama parti.

“Puteri Umno Sabah telah mencapai usia 15 tahun bersama Umno Sabah, dengan kematangan usia itu sudah tiba masanya Umno Sabah memberi lebih banyak peluang kepada pemimpin dan ahli puteri untum diketengahkan sebagai calon BN di PRU akan datang, tidak kira dimana kawasan yang sesuai,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, disini, hari ini.

Menurutnya, hanya seorang calon sahaja daripada kalangan Puteri Umno yangpernah menjadi calon iaitu YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sejak penubuhan Puteri Umno.

“Setelah Datuk Rosnah telah beralih ke Pergerakan Wanita Umno, maka sudah tiba masanya, calon-calon baharu dan berkelayakan daripada kalangan pemimpin Puteri Umno Sabah perlu diberi perhatian dan dijadikan calon BN pada PRU akan datang,” ujarnya.

Selain itu, Salmi turut menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan isu-isu melibatkan wanita muda khususnya isu lambakan siswazah dan para belia-beliawanis yang masih menganggur.

Katanya, negara khususya negeri Sabah akan kerugian sekiranya terdapat siswazah yang berkelayakan tidak diberi tempat dalam arus perdana pembangunan kerana golongan berkenaan merupakan modal insan yang amat diperlukan dalam membangunkan negara ini.

“Saya merayu kepada pihak kerajaan untuk mencari kaedah atau jalan penyelesaian ke atas pengangguran di kalangan siswazah agar sumbangan mereka ini tidak terhad dan berakhir di dapur.

“Saya yakin dan percaya, jika diberi peluang, mereka (golongan wanita muda) mampu untuk terbang sama tinggi, menyelam sama rendah dengan golongan lelaki,”ujarnya. Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan