Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PERLOMBONGAN ARANG BATU UTK JANA ELEKTRIK BELUM ADA KEPUTUSAN

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima cenderahati daripada Pengarah Urusan Corporate Street Sdn. Bhd, Aida Lim Abdullah (kiri) selepas merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2018 di Hyatt Regency, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan sumber arang batu dari Sabah bagi tujuan penjanaan kuasa elektrik.

Namun, untuk bekalan tenaga elektrik di Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri mempunyai pelbagai pilihan.

Katanya, kerajaan negeri boleh meneroka sumber gas aslinya ke tahap maksimum bagi memenuhi bekalan tenaga yang diperlukan selain untuk meningkatkan kegiatan ekonomi dan pembangunan negeri itu.

“Sabah mempunyai sumber arang batu yang paling banyak di negara ini, tidak dinafikan perlombongan arang batu boleh menjana ekonomi negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua kanan) pada sidang media selepas merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2018 di Hyatt Regency, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tetapi dalam masa sama kita harus ingat kesannya terhadap alam sekitar dan kerajaan juga menyedari ramai pihak membantah perlombongan arang batu ini.

“Memang idea itu dikemukakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, namun apa yang dikatakan oleh Tun itu hanyalah cadangan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepada Pengarah-Pengarah Badan Berkanun Negeri di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan beliau di majlis itu berkaitan pendirian kerajaan negeri dalam isu perlombongan arang batu di Sabah yang mendapat bantahan ramai pihak khususnya para aktivis alam sekitar.

Namun demikian tambah beliau lagi, dalam memastikan kelangsungan pembangunan negeri ini untuk jangka masa panjang, kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah dan keputusan yang berani.

“Pernah suatu masa dahulu orang ramai juga membantah cadangan projek Bakun di Sarawak dan sekarang rakyat negeri itu menikmati hasil pelaksanaan projek janakuasa itu. Kini Sarawak mempunyai keupayaan tenaga elektrik lebih baik,” jelasnya.

Menurutnya, kadar penggunaan elektrik di Sarawak adalah 16 sen untuk satu kilowatt berbanding 40 sen setiap kilowatt di Sabah.

Mohd Shafie berkata, kecanggihan teknologi hari ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan penerokaan sumber asli kerana ia mampu mengurangkan impak kepada keseimbangan alam sekitar.

Walaupun kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu namun beberapa perkara lain terutama yang berkaitan kepentingan rakyat dan negeri itu perlu diberikan pertimbangan wajar, katanya.

Sebelum ini, Tun Mahathir dilaporkan mahu memanfaatkan sumber arang batu Sabah untuk penjanaan bekalan tenaga elektrik di negara ini selepas Kerajaan persekutuan menolak cadangan penjanaan kuasa elektrik menggunakan tenaga nuklear.- SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan