Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,645

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Melihat Kekurangan, Kesilapan dan Kesalahan Orang Lain

10:00am 20/09/2016 Zakir Sayang Sabah 76 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Dalam kita melihat kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain, jangan sesekali kita lupa bahawa diri kita juga penuh dengan kekurangannya.

Bezanya, kekurangan orang lain itu terpamer, manakala kekurangan kita mungkin masih lagi Allah SWT sudi sembunyikan.

Kita melihat kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain sebagai peringatan kepada diri kita sendiri. Sebagai sempadan untuk kita tidak langkaui. Sebagai amaran agar kita tidak bergerak ke arah yang sama.

Melihat kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain tidak memberikan kita lesen untuk merasakan diri kita lebih baik, bahawa diri kita lebih suci serta menghalalkan pula tindakan-tindakan seperti maki hamun, keji mengeji, memberikan ancaman, terhadap mereka.

Kita masing-masing perlu sedar bahawa setiap kita bertarung dengan diri dan syaitan masing-masing. Dan mungkin hari ini fulan bin fulan atau fulanah binti fulan tewas, tetapi kita sendiri tidak dapat menjamin apakah kita tidak akan teruji seperti mereka kelak.

Hendaklah kita peringatkan kepada diri kita bahawa selagi seseorang itu belum menghadapi sakaratul maut dan mentari belum terbit dari barat, mereka masih punya peluang untuk bertaubat dan berubah ke arah kebaikan.

Maka hendaklah kita, yang percaya bahawa dirinya berada di atas landasan yang benar, yang meyakini bahawa dirinya sedang berusaha bergerak ke arah kebaikan, untuk meneruskan usaha pesan memesan ke arah kebenaran dan pesan memesan ke arah kesabaran dalam menempuh hidup sebagai muslim di atas muka bumi ini.

Bukan menghukum mereka yang teruji dengan kekurangan, kesilapan dan kesalahan itu seakan mereka tiada harapan lagi di sisi Tuhan. Ingatlah bahawa kita bukan Tuhan. Bukan juga kita ialah manusia yang diberikan kuasa dan tugas untuk menjatuhkan hukuman.

Kita lihat kembali semula kepada diri sendiri. Apakah kita sendiri menyokong perkara-perkara dimurkai Allah SWT, walaupun kita seorang Muslim? Mungkin itu patut kita sibukkan berbanding terlalu asyik berbincang berkenaan kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain.

Apakah kita telah menjauhi pakaian yang tidak patuh syariah? Apakah kita telah berhenti menonton drama & filem merepek? Apakah kita telah meninggalkan selebriti dan idola-idola yang langsung tidak membawa kita ke jalan yang baik? Apakah kita telah meninggalkan siaran-siaran radio merapu? Apakah kita telah berhenti dari menjadi penonton tegar rancangan realiti merepek?

Apa yang telah kita sibukkan untuk memberi impak yang baik kepada masyarakat? Apa yang telah kita sungguh-sungguh mengusahakan sesuatu yang mendekatkan masyarakat kita kepada Allah SWT? Apa yang telah kita usahakan untuk menyembuhkan kebejatan sosial di negara kita? Sejauh manakah kita berperanan untuk memperkasakan kebaikan-kebaikan di tanah air kita ini?

Ya, bila kita lihat kepada diri sendiri, banyak pula perkara perlu kita perbaiki. Banyak perkara perlu dilakukan.

Jika kita sibuk dengan itu semua, tidak sempat untuk kita terlalu menilai orang lain.

Hakikatnya orang yang dinilai oleh kita itu pun teruji. Suasana hari ini bukan suasana yang kondusif untuk seorang hamba Allah SWT mengabdikan dirinya kepadaNya dengan mudah dan selesa. Terlalu banyak dugaan dan ujian mengelilingi. Terlalu banyak cabaran dan ranjau yang perlu kita tempuhi.

Kita perlu menyedari hakikat ini. Mulakan perubahan, bermula dari diri kita sendiri.

Muhasabah.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan