Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mekanisme Baharu Banteras Ketirisan LPG Di Pulau Sebatik Perlu Diperhalusi

7:45pm 17/11/2015 Pak Roshan 233 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

tong gas tawau

TAWAU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran agar memperhalusi semula mekanisme yang diperkenal bagi menangani isu ketirisan gas petroleum cecair (LPG) ke Pulau Sebatik seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Abdul Muis Picho berkata mekanisme berkenaan perlu dikaji semula berikutan terdapat beberapa isu, termasuk mendatangkan masalah kepada pekerja swasta warga asing yang mempunyai dokumen sah di pulau berkenaan, untuk membeli tong gas.

“Seperti yang kita tahu ramai pekerja warga asing yang mempunyai dokumen sah bekerja di kawasan pulau Sebatik. Ada empat syarikat swasta dengan beribu-ribu pekerja…jadi akan menjadi masalah jika mereka (pekerja warga asing) tidak lagi boleh membeli LPG seperti yang diumumkan oleh KPDNKK baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini Selasa.

Pada 7 Nov lepas Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad mengumumkan beberapa mekanisme baharu untuk membanteras isu ketirisan penjualan tong gas di pulau Sebatik, termasuk mengenakan syarat hanya warganegara dan pemegang kad penduduk tetap (PR) dibenar membeli tong gas berkenaan bermula 1 Dis depan.

Mengulas lanjut, Abdul Muis berkata mekanisme yang diperkenalkan KPDNKK itu perlu mengambil kira kepentingan pekerja ladang swasta yang memiliki pasport.

Pada masa sama, beliau menyambut baik dan menyokong mekanisme KPDNKK mengenai pemberian lesen kepada syarikat yang berminat untuk membekalkan tong gas ke negara jiran.

“Langkah itu sangat bertepatan bagi membanteras ketirisan barangan berkenaan yang banyak merugikan negara,” katanya.

Selain mekanisme baharu itu, Alias dipetik sebagai berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan lesen untuk mengeksport LPG ke negara jiran, berikutan permintaan tinggi terhadap tong gas berkenaan menjadi faktor utama berlakunya ketirisan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan