Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,799

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Media platform sesuai dalam memupuk perpaduan negara- Joseph

5:28pm 27/02/2016 Elezebeth Esther Onjining 41 views Tempatan

 

Joseph (Tengah) bersama media yang hadir pada majlis tersebut. Foto oleh Alex Mairin/SayangSabah

Joseph (Tengah) bersama media yang hadir pada majlis tersebut. Foto oleh Alex Mairin/SayangSabah

KOTA KINABALU- Media mempunyai pengaruh yang kuat sebagai wadah untuk menyampaikan maklumat dan juga boleh menjadi ancaman kepada kemakmuran negara jika penyebaran maklumat yang berunsur negatif terus disebarkan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Datuk Panglima Joseph Kurup, peranan media yang amat berpengaruh itu menjadikan media sebagai platform untuk memupuk perpaduan dengan menyampaikan maklumat kepada masyarakat berkenaan dengan isu-isu kemakmuran dalam kepelbagaian.

“Perpaduan merupakan elemen yang harus dititikberatkan dan untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan di negara ini ia adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan terletak di bahu pihak kerajaan sahaja,” katanya ketika berucap sempena majlis sambutan Tahun Baru Cina bersama media-media negeri Sabah, di Hotel Le Meridien, di sini semalam.

Tambah beliau, pengaruh media sosial masa kini yang boleh menjadi ancaman kepada keharmonian wajar diambil perhatian oleh pengamal media agar tidak melaporkan isu-isu sentitif yang boleh mengancam keharmonian di negara ini.

“Pihak media sepatutnya mengelakkan daripada melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mengancam keharmonian negara serta mengelakkan dari terlibat dengan penyebaran maklumat yang tidak betul,”katanya.

Beliau turut menyeru pengamal media menjalinkan kerjasama dengan pihak Jabatan Perpaduan Negara dengan mempromosikan dan menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam prinsip rukun negara.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), Datuk Dr Johnson Tee, Pengarah Negeri JPNIN, Delin Liet Blaun, Pengarah Bahagian Perhubungan Masyarakat dan Kejiranan JPNIN, Haji Abdul Karim Abdul Seman. Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan