Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mawilla 2 TLDM terima kunjungan Menteri Luar Jepun

Panglima Mawilla 2 Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam menyambut ketibaan Menteri Luar Jepun Masahisa Sato hari ini di sini. Gambar Bernama

SANDAKAN, 26 Sept (Bernama) — Markas Wilayah Laut (Mawilla) berpangkalan di sini menerima kunjungan daripada Menteri Luar Jepun, Masahisa Sato, hari ini.

Delegasi lapan orang diketuai Masahisa yang turut disertai Atase Pertahanan Jepun ke Malaysia Kolonel Manabu Mizokami dalam rangka lawatan kerja dua hari ke daerah ini.

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik Mawilla 2, ketibaan Masahisa disambut pegawai Mawilla 2 diketuai Panglima Mawilla 2 Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam.

Delegasi turut diberikan taklimat operasi Mawilla 2 disampaikan sendiri oleh Ganesh dan dalam sesi itu juga, Masahisa dan Ganesh saling bertukar pendapat dan cadangan yang menjurus kepada kerjasama dua hala dalam bidang ketenteraan, isu-isu semasa serantau dan kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara.

Dalam rangka lawatan singkat itu, delegasi rombongan juga diberikan penerangan ringkas di sekitar jeti Tambatan Pangkalan Sandakan dan melawat kapal TLDM yang berlabuh di tambatan itu.

Kenyataan itu menambah, kunjungan julung kali menteri dari Jepun ke Mawilla 2 dilihat sebagai peluang untuk TLDM memperkukuhkan kerjasama ketenteraan khasnya di dalam aspek keselamatan maritim, latihan dan sumber manusia.

Menurut kenyataan itu, kehadiran Masahisa di daerah ini dilihat bakal membuka suatu lembaran baharu dalam perhubungan antarabangsa antara Malaysia dan Jepun khususnya di Sabah.

Selesai sesi lawatan di Mawilla 2, Masahisa meneruskan aktiviti lawatan mereka ke Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan.

Masahisa dijangka akan melaksanakan lawatan di beberapa pusat pelancongan dan tempat menarik di sekitar daerah ini esok sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan