Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Matlan Marjan mahu pemain Sabah dikenali

Matlan Marjan pada temubual di pejabat Sabah News Today di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Legenda bola sepak Malaysia, Matlan Marjan, 50, mahu pemain Sabah yang diberikan kepercayaan menyarung jersi negeri itu dikenali ramai terutama dalam kalangan peminat tegar skuad Badak itu sendiri.

Bekas penyerang kebangsaan itu menambah, untuk itu, para pemain Sabah haruslah membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka dihadapan penonton yang bakal menyaksikan perlawanan suku akhir kedua di antara Sabah dan Kelantan di Stadium Likas pada Sabtu ini.

“Para peminat dan penonton mahu mengenali pemain-pemain Sabah khususnya barisan penyerang. Tapi untuk dikenali, pemain perlu buktikan kebolehan mereka atas padang, cara mereka mengelecek, mengawal bola macam mana.

Matlan Marjan semasa zaman kegemilangannya di padang bolasepak. Gambar Fail SNT

“Saya tengok, pemain kita hari ini perlu memberikan penekanan kepada aspek yang saya sebutkan tadi. Kemahiran itu perlu mereka kuasai kerana mereka bertaraf pemain profesional berbanding zaman kami era 90-an adalah semi-pro.

“Namun, sekarang bola sepak negara sudah jauh berubah sejak era profesional ini diperkenalkan. Oleh itu, saya berharap bola sepak Sabah juga dapat memperlihatkan satu perubahan yang positif bermula dengan saingan Piala Malaysia musim ini,” katanya kepada Sabah News Today.

Matlan turut mengakui, beliau sendiri belum begitu mengenali para pemain Sabah secara lebih dekat.

Mengimbau karier Matlan dahulu, beliau merupakan satu-satunya pemain kebangsaan yang berjaya membolosi gawang England yang dikawal oleh Chris Woods dengan dua gol dalam aksi persahabatan Malaysia-England di Stadium Merdeka pada 1991.

Meskipun baharu mencecah usai 23 tahun ketika itu, beliau berkata, peluang beraksi dengan para pemain England bertaraf profesional yang dibarisi Stuart Pearce, Mark Wright, David Batty, David Platt dan Gary Lineker, adalah pengalaman yang tidak dapat ditukar ganti.

Dalam pada itu, Matlan yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), mengajak para peminat terutama penyokong Sabah agar datang memenuhi Stadium Likas, Sabtu ini sebagai tanda sokongan kepada skuad Badak.

Katanya, dia agak kecewa melihat keadaan stadium keramat itu tidak lagi menjadi perhatian dan tiada lagi kedengaran sorakan daripada peminat bola sepak Sabah sejak beberapa tahun ini.

“Kalau saya melihat situasi ini, Sabah perlukan satu galakkan yang tinggi. Bukan isu tiket mahal kalau hanya RM10 atau RM20, saya rasa peminat mampu beli.

“Masalahnya, penonton ini mahukan satu saya tarikan daripada pasukan Sabah. Tapi, stadium kita penuh kerana ada yang mahu melihat aksi pasukan lawan,” katanya.

Sabah akan melayani kunjungan Kelantan pada Sabtu ini untuk menentukan pasukan yang bakal mara ke separuh akhir Piala Malaysia. Dalam pertemuan pertama di Kota Bharu minggu lalu, Sabah tewas 1-2. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan