Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,683

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Masyarakat Sandakan Kutuk Pembunuhan Bernard Then Oleh Abu Sayyaf

10:53pm 18/11/2015 Pak Roshan 1864 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan
abu-sayyaf-1

gambar hiasan

SANDAKAN : Masyarakat di sini mengutuk dan sedih dengan kejadian pembunuhan Bernard Then Ted Fen, 39, seorang daripada mangsa yang diculik di Restoran Makanan Laut Ocean King di sini.

Pada masa sama, mereka mahu pasukan keselamatan berjaga-jaga dan meningkatkan kawalan di perairan di timur negeri ini agar insiden penculikan tidak berulang.

Kapitan Kawasan Elopura Leong Tshun Kian berkata pembunuhan Then menunjukkan kumpulan militan dari selatan Filipina yang melakukan penculikan itu merupakan kumpulan yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya tindakan kumpulan penculik membunuh mangsa culik tidak boleh diterima dan harus dipandang serius oleh kerajaan dan pasukan keselamatan.

“Sebagai penduduk di daerah ini, kami merasa sedih dengan kejadian menimpa Then dan bersimpati dengan anggota keluarganya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut laporan media antarabangsa, kumpulan penculik Abu Sayyaf memenggal kepala jurutera elektrik itu (Then) semalam.

Dua orang diculik dalam kejadian pada 14 Mei lepas dan seorang lagi pengurus restoran makanan laut itu, Thien Nyuk Fun, 50, yang dibebaskan pada 8 Nov lepas.

Bernard dilaporkan dibunuh di satu lokasi terpencil, dipercayai menjadi kubu kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Dalam pada itu, Ketua Zon Sandakan Persatuan Nelayan Sabah Shaiful Bahari Muin mahu pasukan keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengambil perhatian serius kejadian menimpa Then.

Katanya mereka perlu meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan timur negeri ini dan memastikan tidak dibolosi oleh anggota kumpulan militan dari selatan Filpina.

“Kejadian rakyat Malaysia dibunuh untuk mendapatkan wang tebusan oleh kumpulan militan di selatan Filipina sukar diterima.

“Kami hidup aman di negara ini tetapi kumpulan militan dari negara jiran mengambil kesempatan daripada keamanan yang dikecapi,” kata Shaiful Bahari.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan