Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Masyarakat sambut baik bulan pengampunan caj tiket letak kereta

3:57pm 29/04/2016 Leolerry Lajius 293 views Kota Kinabalu,Tempatan
(Dari kiri) Noeil, Jalil, Timothy dan Jacy.

(Dari kiri) Noeil, Jalil, Timothy dan Jacy.

KOTA KINABALU: Langkah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk melaksanakan bulan pengampunan caj tiket letak kereta bagi semua tiket dan penyata letak kereta sehingga 10 Jun nanti mendapat reaksi yang positif dari masyarakat.

Mereka menyifatkan bahawa pelaksanaan langkah tersebut boleh meringankan beban yang ditanggung di samping dapat memberikan kesedaran kepada pengguna agar sentiasa peka terhadap perkara ini di masa akan datang.

Menurut Jacy Benedict, 52, program tersebut amat wajar dilaksanakan di samping memberi peluang kepada pengguna untuk melunaskan bayaran tunggakan mereka.

“Program ini amat sesuai kerana pengguna hanya membayar caj bayaran asas penggunaan ruang letak kereta sahaja dan dikecualikan dari caj atau denda yang lain,”katanya.

Pendapat Jacy juga turut disokong Timothy Turin, 58, yang mengatakan bahawa program ini adalah wajar dan beliau juga berharap agar inisiatif seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang.

“Bagi memastikan orang ramai mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program ini, pihak DBKK boleh memasang poster di tempat- tempat tertentu kerana minat masyarakat sekarang untuk membaca akhbar semakin berkurang,”katanya.

Menurut Abd. Jalil Ting, 26, walaupun tidak mempunyai kenderaan tetapi beliau amat setuju dengan pelaksanaan program ini dan beliau juga akan memberitahu rakan-rakannya yang mungkin mempunyai tunggakan agar mengambil peluang membayarnya sepanjang bulan pengampunan ini.

Menurut salah seorang lagi pengguna yang sebelum ini pernah dikenakan caj berkaitan dengan kesalahan tempat letak kereta iaitu Noeil Bin Naous, 23, melalui program ini ia dapat memperlihatkan keprihatinan pihak DBKK untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh pengguna.

“Saya berharap agar masyarakat mengambil ikhtibar melalui program ini dan mengelakkan daripada menangguhkan pembayaran caj di masa akan datang bagi mengelak dikenakan tindakan.”

“Memang tidak dinafikan bahawa ada sebilangan pengguna yang menggunakan alasan sibuk bekerja sehingga mengabaikan perkara ini yang menyebabkan pembayarannya tertunggak dan jumlahnya semakin bertambah,”katanya.

Pelaksanaan program berkenaan memberi manfaat kepada lebih 20,000 orang pengguna yang telah dikeluarkan notis supaya membayar tunggakan caj tiket letak mereka. –Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan