Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Masyarakat Rohingya Di Malaysia Bersyukur Dapat Raikan Aidilfitri

rohinyaa

KUALA LUMPUR – Setiap kali menjelangnya Aidilfitri, kampung halaman pastinya menggamit rindu.

Sekalipun ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’.

Namun, bagi pelarian Rohingya di Malaysia, peribahasa Melayu itu nyata tidak tersemat di jiwa mereka, kenangan menyambut hari raya di negara mereka amat meruntun hati.

“Di Myanmar, masjid dibakar, suasana kunjung-mengunjung memang sudah tiada di sana kerana masing-masing hidup dalam ketakutan dan serba kekurangan.

“Di Malaysia, kami dapat beraya dengan aman bersama masyarakat setempat, menunaikan solat sunat hari raya bersama dengan penduduk Islam dan suasana hari raya cukup meriah,” kata Shafie Nazir Hussein yang ditemui Bernama pada Majlis Amal Aidilfitri 2015, di sini.

Tukang rumah berusia 76 tahun yang datang ke negara ini sejak 1992 berasa amat bersyukur kerana kehidupannya kini terlalu jauh lebih baik berbanding kehidupannya di negara asal.

Seorang lagi masyarakat Rohingya Tayuba Mohd Idris, 46, yang telah berada di negara ini sejak 30 tahun lepas turut menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Saya bersyukur kerana penduduk Islam di sini banyak menolong kami. Masyarakat di sini layan kami dengan baik,” katanya.

Sementara itu, seorang generasi etnik Rohingya yang dilahirkan di negara ini hanya mendengar cerita mengenai negara asal ibu bapanya sahaja, namun Raziah Ali, 23, menyedari jika ibu bapanya tidak ke Malaysia, beliau tidak pasti nasib yang akan menimpanya.

“Saya dapat bayangkan jika saya masih di Myanmar, kehidupan saya mesti susah dan saya akan merasai bagaimana suasana rumah dibakar, orang kampung dibunuh dan sebagainya,” katanya yang turut memberitahu bahawa ibu bapanya datang ke negara ini sejak 40 tahun lepas.

Majlis Amal Aidilfitri 2015 dianjurkan Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia dan United World Rohingya Organizations, manakala bantuan dana oleh Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM).

Presiden PERMIM, Dhajudeen Shahul Hameed ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada 350 masyarakat Rohingya di sini berkata bantuan itu bagi membantu masyarakat itu yang akan menyambut Aidilfitri nanti.

“Sebanyak RM50,000 telah dibelanjakan untuk membeli keperluan asas barangan dapur berserta wang tunai sempena hari raya dan diharapkan bantuan ini dapat mengurangkan bebanan mereka membuat persiapan menjelang raya nanti,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan