Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,754

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Masyarakat harus amal gaya hidup sihat

11:27am 21/11/2015 Ann Vivien 24 views Isu Semasa,Tempatan

 

Hamisa menyerahkan barangan kospen kepada pembantu kospen.

Hamisa menyerahkan barangan kospen kepada pembantu kospen.

TAWAU; Masyarakat harus mengamalkan gaya hidup sihat yang memberi banyak manfaat terutama dalam mengelak sebarang jenis penyakit berbahaya.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat berkata, amalan gaya hidup sihat itu juga perlu dipupuk dan disemai di rumah oleh ibu bapa agar menjadi ikutan ahli keluarga yang lain.

Menurutnya, pelbagai penyakit berbahaya seperti darah tinggi dan kencing manis adalah berpunca daripada cara pengambilan makanan seseorang selain pengabaian aktiviti-aktiviti sihat.

“Sehubungan itu, saya menyeru masyarakat supaya memberi keutamaan kepada amalan gaya hidup sihat. Masyarakat perlu bijak mengimbangi cara pemakanan dengan senaman harian. Kebijaksanaan ini bukan sahaja membolehkan kita membentuk modal insan yang sihat dan cergas tetapi mempunyai ketrampilan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan barang-barang pemeriksaan komuniti sihat kospen kepada pembantu kospen di Tawau.

Hamisa menambah, program amalan hidup sihat itu juga me­rangkumi tindakan untuk menjaga persekitaran masing-masing.

Namun beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negri (ADUN) Tanjong Batu mahu amalan gaya hidup sihat itu tidak hanya tertumpu kepada program riadah sebaliknya menitikberatkan soal kebersihan.

“Kebersihan persekitaran juga satu perkara yang perlu diberi penekanan. Banyak penyakit berbahaya seperti demam denggi dan kencing tikus merebak dengan cepat jika sesuatu persekitaran itu kotor,” tambahnya.

Jelas Hamisa masyarakat  seharusnya berusaha meningkatkan gaya hidup sihat dalam kehidupan sehari-hari bagi memastikan proses kemajuan dan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan berkesan.

“Adalah suatu yang merugikan jika negara ini berjaya mencapai matlamat negara maju namun pada masa yang sama rakyat dibelenggu dengan isu kesihatan, kebersihan serta pelbagai masalah sosial lain.

Menurut beliau, adalah penting, setiap individu dan semua pihak berusaha menggembleng tenaga bagi memastikan isu-isu kesihatan rakyat berada pada tahap yang terbaik seiring dengan kemajuan sains dan teknologi masa kini.

“Segenap lapisan masyarakat dinasihatkan agar sentiasa peka dan mengambil tahap kesihatan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat,”ujarnya.-Sayangsabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan