Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Masyarakat diseru amal budaya keselamatan kebakaran

CEGAH KEBAKARAN... Abdul Rahman menyampaika alat pemadam api kepada salah seorang penduduk kampung. - Foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah
CEGAH KEBAKARAN… Abdul Rahman menyampaikan alat pemadam api kepada salah seorang penduduk kampung. – Foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah

PULAU MANTANANI (Kota Belud) – Pendedahan awal mengenai budaya keselamatan kebakaran di kalangan masyarakat mampu menyelamatkan nyawa serta harta benda rakyat di negara ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, budaya tersebut perlu diamalkan secara berterusan bagi memastikan langkah keselamatan kebakaran sentiasa dipatuhi.

“Bangunan pada prinsipnya tidak terbakar dengan sendirinya, sebaliknya ia berlaku dan merebak disebabkan oleh kelalaian dan salahlaku penghuni sesuatu kediaman atau bangunan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Kempen Keselamatan Kebakaran peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah di sini hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan program pengagihan alat pemadam api kepada 155 buah rumah penduduk serta masing-masing sebuah klinik, surau dan sekolah rendah.

Abdul Rahman berkata, statistik kematian akibat kebakaran di negeri ini pada tahun lepas, meningkat kepada 27 orang mangsa berbanding 16 mangsa pada 2013.

Menurutnya, orang ramai perlu mengikis sikap sambil lewa dan tidak mengambil berat menangani kebakaran yang kemudian menuding jari menyalahkan satu sama lain sekiranya berlaku bencana.

“Semua pihak perlu sedar bahawa keselamatan kebakaran adslah tsnggungjawab kita bersama,” katanya lagi.

Mengenai majlis kempen tersebut beliau berkata penganjuran program berkenaan mampu meningkatkan pengetahuan sekaligus mewujudkan masyarakat yang mengamalkan budaya keselamatan kebakaran.

“Anak-anak kita adalah aset negara akan datang dan kita seharusnya memastikan keselamatan anak masing-masing dari bencana tersebut,” katanya.

“Tema kempen tersebut ‘Keselamatan Keluarga, Kesejahteraan Negara’ amat bersesuaian dengan matlamat jabatan bomba untuk mengurangkan kebakaran di negara ini,” tambah beliau.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

 

Komen


Berita Berkaitan