Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu larang pelancong melawat sementara waktu

KOTA KINABALU – Pihak pengurusan tertinggi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) mengambil keputusan untuk melarang pelancong melawat masjid itu buat sementara waktu berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi MBR Datuk Jamal Tun Sakaran berkata keputusan itu ekoran video yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan tindakan pelancong asing yang mempamerkan perilaku tidak senonoh iaitu menari di atas tembok pagar masjid itu.

“Pihak pengurusan tertinggi MBR menzahirkan rasa sangat kesal dengan tindakan segelintir pelancong tersebut meskipun sudah diberikan penerangan perilaku dan tertib di sekitar masjid,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu juga, Jamal berkata pihak MBR memutuskan dengan serta merta bahawa semua bas ekspres, kenderaan pengangkutan Grab dan teksi tidak dibenarkan membawa pelancong masuk ke kawasan dan sekitar masjid, melainkan teksi yang sudah berdaftar dengan MBR.

“Larangan itu tidak membenarkan kenderaan pengangkutan berkenaan meletakkan kenderaan (parkir) di luar masjid seperti yang biasa diamalkan sebelum ini,” katanya.

Menurut Jamal, MBR membuka peluang kepada pelancong untuk mengunjungi masjid itu dengan anggaran 500-1000 pelancong melawat masjid itu setiap hari.

“Pada dasarnya, pihak pengurusan tertinggi MBR telah melaksanakan pelbagai usaha menyampaikan mesej keindahan Islam dan masjid kepada pelancong yang berkunjung, namun masih ada pelancong yang bertindak di luar jangkaan.

“Usaha ini termasuklah inisiatif pihak MBR menyediakan pemandu pelancong, jubah, baju kurung, tudung, kopiah dan sebagainya,” katanya dan menurutnya masjid itu juga menyediakan Pusat Pelancongan bagi memudahkan penyaluran maklumat serta menyemarakkan aktiviti dakwah.

Katanya bagi menjaga imej dan kesucian Islam dan masjid itu serta kelestarian industri pelancongan di Sabah, pihak MBR akan mengadakan perbincangan lanjut bersama agensi berkaitan pelancongan bagi mencari jalan terbaik yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan