Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Masih Ramai Ambil Mudah Membuat Penamaan Waris

ALOR SETAR – Sikap tunggu dan lihat serta tidak faham kepentingan penamaan waris menjadi antara faktor masih ramai yang tidak membuat penamaan waris untuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Cawangan Kedah Mohd Fadzil Md Isa berkata antara kesilapan paling besar ramai pencarum ialah menganggap ahli keluarga atau warisnya boleh melakukan sendiri tuntutan selepas pencarum meninggal dunia.

“Ramai antara mereka menggunakan konsep ‘ahli keluarga pandai-pandailah sendiri’ untuk menguruskan tuntutan caruman di KWSP apabila pencarum itu meninggal dunia kelak.

“Apa yang mereka tidak tahu, mereka hanya menyukarkan ahli keluarga mereka untuk menyegerakan tuntutan kerana tanpa penamaan, tempoh penyerahan tuntutan akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya kepada Bernama.

Katanya status perkahwinan juga menjadi antara faktor ramai dalam kalangan pencarum yang berlengah daripada membuat penamaan.

“Masa bujang, penamaan tidak dirasakan penting kerana tanggungjawab tidak begitu besar dan apabila sudah berkeluarga, sibuk dan tidak ada masa untuk pergi ke pejabat KWSP. Jadi, perkara ini berterusan hinggalah sesuatu terjadi kepada pencarum,” katanya.

Bukan itu sahaja, tanggapan bahawa urusan pembahagian wang simpanan di KWSP itu diuruskan secara faraid justeru tidak memerlukan penamaan juga harus diubah.

“Sebagai orang Islam, memang kita digalakkan mengikut sistem faraid dalam pembahagian harta termasuk wang caruman KWSP sekiranya berlaku kematian dan penama berperanan sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada waris yang berhak.

“Pun begitu, apa yang dilakukan KWSP bagi penamaan ini adalah antara langkah terbaik dalam memudahkan urusan tuntutan.

“Bila ada penamaan waris, semua pihak sudah tahu ke mana atau siapa yang berhak mendapat wang tersebut. Jadi, tidak perlu membuang masa yang lama untuk mencari waris sebelum wang caruman tersebut diagihkan mengikut sistem faraid,” katanya.

Untuk itu, Mohd Fadzil menyarankan semua ahli keluarga memainkan peranan agar tidak bertangguh dalam melakukan penamaan serta menyebarkan kepentingan penamaan ini kepada generasi muda.

“Konsepnya, seperti anda mengambil insurans. Anda hanya mengetahui kepentingannya apabila sesuatu terjadi kepada diri sendiri atau ahli keluarga anda. Jadi, jangan ambil mudah dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, seorang juruukur bahan Nur Atiqah Che Hassan, 24, menjelaskan dia belum membuat penamaan disebabkan tidak faham dan tidak tahu cara melakukannya.

“Mungkin tiada pendedahan mengenai perkara ini memandangkan hanya saya seorang yang bekerja dalam sektor swasta berbanding ahli keluarga lain di sektor kerajaan yang menerima pencen.
“Walaupun telah mencarum sejak 2015, sampai sekarang saya masih belum melakukan penamaan dan mungkin akan melakukan selepas ini tapi tidak tahu bila,” katanya.

Mohd Zulkarnain Isa, 37 pula berkata dia hanya membuat penamaan selepas mendapat anak pertama kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd Zulkarnain yang bekerja sebagai penyenggara pesawat berkata, sebelum ini tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membuat penamaan di KWSP kerana menganggapnya tidak penting.

“Segalanya berubah apabila anak pertama saya dilahirkan dan ada satu perasaan risau terhadap anak dan isteri sekiranya berlaku sesuatu ke atas saya pada masa depan. Selepas mendapat nasihat daripada pegawai KWSP, saya terus membuat penamaan sebagai jaminan masa depan keluarga saya,” jelasnya.

Bagi seorang kerani Shaidah Sahir, 43, tiada masa dan memilih untuk tunggu dan lihat membuatkan dia hanya membuat penamaan pada Oktober lalu.

“Selepas berbelas tahun bekerja dan mencarum, hanya Oktober lalu saya membuat penamaan. Itupun selepas digesa oleh rakan sekerja yang menyakinkan saya bahawa penamaan di KWSP sangat penting bagi mengelak timbulnya masalah agihan simpanan dalam kalangan keluarga sekiranya saya meninggal nanti,” katanya. — LAGI

Shaidah berkata biarpun pernah mendengar ada dalam kalangan rakan sekerjanya yang menghadapi kesukaran untuk membuat tuntutan simpanan di KWSP selepas pencarumnya meninggal tetapi ia masih tidak memberi kesan kepadanya.

“Apabila ditimbulkan persoalan apa nasib anak saya apabila saya meninggal kelak kerana dia tidak dapat menuntut dengan segera duit caruman saya itu, baru saya terfikir. Mujur masih belum terlambat dan proses melakukannya tidak sesukar mana,” jelasnya.

Bagi seorang pekerja swasta, Mohd Fikri Abu Hassan, 42, pengalaman berdepan kesukaran dalam membuat satu tuntutan selepas ibunya meninggal dunia benar-benar membuka matanya untuk membuat penamaan.

“Cukup payah dan prosesnya amat panjang sekali. Sejak berdepan pengalaman itu, saya terus membuat penamaan waris bagi caruman di KWSP saya kerana tidak mahu isteri atau anak saya mengalami nasib yang sama,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan