Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Masih Ada Harapan Selagi Adanya Ramadan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ramadan 1436 akan melabuhkan tirainya tidak berapa ketika lagi. Setiap kita menghadapi Ramadan pada tahun ini pada keadaan dan situasi yang berbeza-beza. Ada di antara kita dikurniakan rezeki beribadah dengan dapat mengisi Ramadan dengan ibadah-ibadah khusus Ramadan dengan lengkap. Sebahagian kita yang lain pula, diuji dengan Ramadan kali ini, tidak sebaik-baik tahun-tahun yang lepas. Kemungkinan atas beberapa faktor yang bukan  atas kehendak sendiri tetapi berdasarkan situasi.

Pun begitu, tidak kita pernah dengar ungkapan bahawasanya seorang muslim itu perlu menjadi lebih baik dalam kehidupan hari ke seharinya?

Justeru, mungkin sebahagian kita sudah sampai berputus asa.

Ah! Tunggu sahaja Ramadan akan datang! Pasti akan lebih baik.

Bahkan tidak! Belum tentu Ramadan akan datang masih ada untuk kita. Maka dengan masih berbaki Ramadan walaupun beberapa ketika ini, maka manfaatkan kerana di setiap sudut bulan barakah ini masih ada harapan.

Apa yang diharap dari Ramadan?

Ramadan juga disebut sebagai madrasah yakni sebuah institusi yang akan melahirkan graduan yang berkualiti berdasarkan tarbiyah yang terdapat di dalam bulan ini. Ramadan sepatutnya melahirkan kita yang lebih bersabar dalam berurusan. Mendidik akhlak kita lebih baik dalam pertuturan dan perhubungan. Membolehkan kita mengawal nafsu bukan sebaliknya. Inilah didikan Ramadan yang mesti dapat merubah diri kita.

Pun demikian, masih  terdapat suatu perkara yang mungkin banyak dikhususkan dalam Ramadan. Apakah ia?

Itulah PENGAMPUNAN!

Sebahagian kita, bila mendengar waktu yang mustajab, banyak meminta supaya Allah permudahkan urusannya, diberikan rezeki yang halal dan sebagainya. Mohonlah kerana Dia Maha Kaya. Tetapi mungkin kita terlupa bahawa yang menghalang mustajab doa yang kita pinta adalah DOSA kita. Maka seharusnya kita dahulukan memohon Allah mengampunkan dosa kita sebelum meminta apa jua hajat kita diperkenankan.

Selain itu, jika kita sedar akan besarnya pengampunan Allah ini, kemungkinan kita akan ‘takut’ atau berasa cukup dari meminta perkara yang lain. Hal ini disebabkan pengampunan daripada Allah s.w.t merupakan suatu rahmat yang paling besar yang mana dengannya menjadi asbab kita untuk memperoleh syurgaNya bukan dengan amalan kita.

 Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

“Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Inilah dua sifat yang meski ada pada setiap kita selepas berlalunya Ramadan iaitu Ketulusan Akhlak dan Kebijaksanaan Akhirat agar kita tergolong dalam kalangan yang disifatkan oleh rasulullah sebagai yang paling utama dan cerdik.

Kenapa Mesti Pengampunan?

  1. Dijauhkan Laknat Allah

Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w naik mimbar lalu beliau mengucapkan, ‘Amin … amin … amin.’ Para sahabat bertanya, ‘Kenapa engkau berkata demikian, wahai Rasulullah?’ Kemudian, baginda bersabda; ‘Baru saja Jibril berkata kepadaku, ‘Allah MELAKNAT seorang hamba yang mendatangi Ramadan tanpa mendapatkan ampunan,’ maka kukatakan, ‘Amin.’(al-Muhazzab)

2. Jauhi Api Neraka Allah

“Wahai Rasulullah, saat engkau naik ke atas mimbar, engkau mengatakan “Amin” sebanyak tiga kali, mengapa demikian ya Rasulullah? Kemudian Rasulullah bersabda; “Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : “Barang siapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan (puasa), kemudian dia tidak mendapatkan pengampunan (pada bulan Ramadhan tersebut), maka ia dimasukkan ke dalam API NERAKA dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah: Aamiin”. Kemudian aku mengaminkannya. (HR Ibn Hibban)

3. Jauhi Tergolong dalam Kalangan Orang yang Celaka

Ketika Rasulullah menaiki tangga mimbar yang pertama, beliau berkata, “Amin.” Ketika beliau menaiki tangga yang kedua, beliau pun berkata, “Amin.” Ketika beliau menaiki tangga yang ketiga, beliau pun berkata, “Amin.”Setelah Rasulullah saw. turun dari mimbar, kami pun berkata,

“Ya Rasulullah, sungguh kami telah mendengar dari engkau pada hari ini, sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelumnya.”

Rasulullah saw. bersabda, “Ketika aku menaiki tangga pertama, Jibril muncul di hadapanku dan berkata,

“CELAKALAH orang yang mendapati bulan Ramadhan yang penuh berkah, tetapi tidak memperoleh keampunan.” Maka aku berkata, “Amin”… (HR Hakim)

 

Harapan Pengampunan masih ada!

Jika seorang pelacur memberi minum anjing di masukkan ke dalam syurga atas perbuatannya.

Jika seorang pembunuh yang membunuh 100 orang diberi keampunan di atas dosanya.

Maka tidak terkecuali kita. Sebesarmanapun dosa kita, tetaplah memohon keampunan padanya:

Renungilah hadith baginda s.a.w ini:

Rasulullah SAW bersabda: “Pada setiap malam, Allah Azzawajalla turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Maka Allah berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti akan Kukabulkan, dan siapa yang memohon kepada-Ku, pasti akan Kuberi, dan siapa yang mohon ampun kepada-Ku pasti akan Kuampuninya.” (Muttafaq ‘Alaih)

Dengan tambahan kelebihan Ramadan yang masih berbaki, maka pohonlah keampunan kerana disitu masih ada harapan buat pendosa seperti kita.

Penutup: Besar Makna Pengampunan

Pengampunan Allah azza wajal mempunyai nilaian yang cukup besar dan memberi kesan hebat dalam hidup seorang insan. Tidak di dunia tetapi di akhirat. Justeru, mereka yang melihat hidup daripada kaca mata akhirat tidak akan melepaskan peluang ini kerana tidak tentu ia akan datang lagi.

Tambahan pula, keampunan juga menjadi sebab penentu kejayaan di Akhirat dengan dikurniakan syurga di samping menjadi kunci kejayaan kerana setiap yang dilakukan mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t.

Akhir sekali berdoalah sahabatku! Tuhan yang sejukkan api untuk nabi Ibrahim, itulah tuhan yang sama mendengar doa kita. Tuhan yang menolong nabi Musa daripada Firaun, itulah tuhan yang sama kita minta pertolongan, tuhan yang selamatkan nabi Isa dan mengangkatnya ke langit, tuhan yang sama tidak pernah lupakan kita. Tuhan yang sama membantu permudah dakwah Rasulullah, tuhan yang sama tempat kita mohon dilepaskan segala perit dan susah.

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Muhammad Uzair bin Izham)

Komen


Berita Berkaitan