Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,791

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Masidi Lancar Buku ‘Pengislaman Dalam Kalangan Dusun Ranau (1940-1976)’

Masidi ketika melancarkan buku berkenaan sempena majlis berkenaan.-Gambar Oleh Alex Mairin

Masidi ketika melancarkan buku berkenaan sempena majlis berkenaan.-Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU : Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun hari ini melancarkan buku bertajuk ‘Pengislaman Dalam Kalangan Dusun Ranau (1940-1976)’ di sini.

Buku itu ditulis oleh empat pensyarah dalam bidang sejarah dan komunikasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) setebal 180 muka surat dan dijual pada harga RM28 bagi Semenanjung dan RM33 bagi Sabah dan Sarawak.

Buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia itu mengandungi sejarah pertapakan Islam dalam kalangan masyarakat Dusun di bawah bimbingan seorang mandur besar berasal dari Indonesia dikenali sebagai Mandur Sharif.

Ia diteruskan oleh muridnya secara perseorangan semasa dakwah gelombang pertama dan kemudian melibatkan diri dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) semasa dakwah gelombang kedua.

Dalam ucapannya, Masidi berkata buku itu boleh dijadikan sebagai bahan rujukan penting untuk para pelajar termasuk penyelidik luar mengenai etnik Dusun dan penyebaran Islam di Sabah.

Beliau berharap lebih ramai pengkaji dan penulis tempatan menghasilkan karya memandangkan terdapat banyak lagi sumber sejarah tempatan di Sabah yang bernilai belum didokumentasikan.

“Buku ini penting bukan sahaja menceritakan sejarah pengislaman dalam kalangan masyarakat Dusun tetapi juga memperkenal keunikan masyarakat itu sendiri kepada dunia luar,” katanya.

Masidi berkata proses Islamisasi di Ranau dilakukan dengan lemah lembut dan penuh hikmah yang sekali gus mempengaruhi cara hidup masyarakat Islam di daerah itu yang menerapkan toleransi, hormat menghormati serta kasih sayang walaupun dengan mereka yang berlainan agama.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan