Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Masalah Tanah Antara Faktor Kelewatan Pembinaan MRSM – Ismail Sabri

1:26pm 29/02/2016 Pak Roshan 185 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
MRSM Sandakan

gambar hiasan – MRSM Sandakan

KOTA KINABALU Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masalah perolehan tapak atau tanah merupakan antara faktor pembinaan beberapa buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di beberapa negeri mengalami kelewatan.

Justeru, katanya, apabila Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengumumkan pembinaan sesuatu MRSM, tidak bermakna ia terus boleh dilaksanakan kerana ia perlu melalui pelbagai proses termasuk penyediaan tapak atau tanah yang perlu dipohon daripada pihak kerajaan negeri.

“Tahun lepas saya umumkan MRSM Integrasi di Labuan sebagai contoh. MRSM Integrasi ini pelajarnya ialah daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak tetapi sehingga hari ini, mereka masih lagi cuba mendapatkan tanah. Walaupun sudah umum, tetapi tidak semestinya sudah umum terus boleh jadi.

Prosesnya banyak, tanah dan sebagainya. Masalah tanah belum selesai lagi,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada 233 pegawai dan kakitangan agensi-agensi di bawah KKLW peringkat negeri Sabah dan Labuan di sini Isnin. Pada tahun ini, seramai 2,976 penerima APC di bawah KKLW di seluruh negara.

Katanya pada masa ini, kerajaan cuma mampu membina antara tiga hingga empat MRSM setahun namun pembinaan kemudahan seperti itu boleh dipercepatkan sekiranya ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kerajaan negeri yang secara sukarela menawarkan diri untuk membina kemudahan berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, pembinaan MRSM di Ranau, Sabah dan di Bintulu, Sarawak boleh dilaksanakan lebih cepat kerana kedua-duanya akan dibina oleh Petronas dan GLC yang terlibat dalam menyediakan kemudahan MRSM akan diberi keistimewaan dari segi pemilihan kemasukan pelajar ke MRSM di bawah tajaan mereka.

Sebagai contoh katanya 80 peratus pelajar ke MRSM tajaan GLC tertentu diberikan kepada anak-anak yang ibu bapa mereka bekerja dengan GLC berkenaan manakala selebihnya daripada pelajar-pelajar luar.

Melalui pendekatakan itu, katanya, KKLW cuma bertanggungjawab menguruskan operasi MRSM berkenaan termasuk menyediakan guru dan kakitangan serta penyelenggaraan kemudahan sementara pihak GLC atau kerajaan negeri yang berminat dengan pendekatan itu cuma membina kemudahan yang biasanya menelan kos kira-kira RM50 juta untuk sebuah MRSM.

Katanya pada tahun ini, lima lagi MRSM akan dibina oleh agensi di bawah KKLW, tidak termasuk MRSM yang ditaja GLC, sebagai tambahan kepada kira-kira 50 MRSM sedia ada di seluruh negara dengan purata jumlah pelajar setiap MRSM ialah kira-kira 500 orang murid.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan