Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,739

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Masalah Ketidakhadiran Di Sekolah Perlu Ditangani – Pengarah Pendidikan Sabah

9:41am 25/03/2016 Pak Roshan 282 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
jame

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip

KOTA KINABALU : Perbuatan tidak hadir ke sekolah perlu ditangani secara bijak dan tegas bagi mengelak pelajar terbabit daripada terjebak dengan masalah sosial, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip.

Beliau berkata kes ketidakhadiran di sekolah kini merupakan masalah yang agak kritikal dan menjejaskan prestasi akademik pelajar.

“Pelajar yang kerap tidak menghadiri kelas sering terlibat dengan masalah sosial seperti merambu, mencuri dan merokok. Bagi mengatasi masalah ini, program ‘Caring Teacher, Turun Padang’ dilancarkan untuk julung kalinya bagi menangani masalah itu hingga ke peringkat akar umbinya,” kata beliau ketika melancarkan program berkenaan di SK Likas hari ini.

Program ‘Caring Teacher, Turun Padang’ dipadankan daripada konsep sekolah penyayang Kementerian Pendidikan yang diperkenalkan pada 2012 serta dianjurkan Jabatan Pendidikan negeri dan SK Likas.

Jame berkata program itu akan menggunakan pendekatan proaktif bagi mengenal pasti keperluan dan kepentingan seseorang pelajar, bukan sahaja di peringkat sekolah, tetapi juga melibatkan kunjungan ke rumah pelajar serta tempat yang sering dikunjungi pelajar pada waktu luar persekolahan.

Menurut beliau, program itu dijangka mendorong guru menambah baik perkhidmatan penyampaian mereka kepada pelajar dan memastikan kebajikan pelajar dijaga dengan lebih baik.

“Amalan ‘turun padang’ diharap dapat memupuk hubungan lebih erat antara guru dan keluarga pelajar serta meningkatkan kefahaman tentang cabaran serta kekangan yang dihadapi anak-anak,” katanya.

Beliau menyuarakan harapan agar inisiatif ‘Caring Teacher, Turun Padang’ itu dapat diperluaskan ke semua sekolah di Sabah bagi membantu mengurangkan kadar keciciran pelajar, masalah disiplin dan masalah sosial lain dalam kalangan golongn muda.

Sementara itu, Jame berkata sekolah di negeri ini akan hanya ditutup atas nasihat Jabatan Meteorologi dan Jabatan Kesihatan Sabah sekiranya suhu melebihi 39 darjah Celsius.

“Mengenai aktiviti luar bilik darjah, setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan tentang pelajar jatuh sakit kerana cuaca. Saya cadangkan, untuk sementara ini, aktiviti hanya diadakan di tempat tertutup atau kurangkan atau tangguhkan dahulu program yang dirancang. Sekolah juga perlu mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan mengenai aktiviti yang sudah dirancang,” katanya.

Kemudiannya Jame dengan diiringi pengetua SK Likas, Mohd Jaimie Mosliem dan Penolong Pegawai Daerah Umin Sadi, melawat ke rumah dua pelajar tahun lima sekolah berkenaan, Khairul Hisyam Abtal dan Mohammad Saifuddin Abdullah, yang mengalami masalah ketidakhadiran di sekolah.

Dalam lawatan itu, Jame menyampaikan hamper, pakaian dan sumbangan wang kepada ibu bapa pelajar berkenaan.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan