Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Masalah Bekalan Air, Banjir Di Tawau Bakal Selesai Dengan Pembinaan Empangan Air Pelbagai Guna Pertama Di Sabah

TAWAU, 9 Jan – Penduduk Tawau bakal menerima bekalan air mentah sebanyak 209 juta liter sehari apabila projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa Tiga yang membabitkan pembinaan empangan air pelbagai guna di Jalan Gudang 4 di sini, siap pada tahun 2021.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Tawau menjadi daerah pertama di Sabah memiliki empangan pelbagai guna yang berfungsi menyimpan bekalan air mentah berkapasiti takungan sebanyak 30,000 (juta liter).

Katanya projek bernilai lebih RM450 juta itu turut bertindak sebagai tebatan air bagi mengurangkan kejadian banjir di perbandaran Tawau dan kampung berdekatan dengan turut menyediakan infrastruktur tambahan kapasiti takungan sebanyak 4.6 juta liter sehari.

“Pihak kerajaan mendengar keluh kesah penduduk di Tawau dan suara wakil-wakil rakyat di daerah ini yang menyatakan keperluan pembinaan empangan yang dapat membekalkan sumber air mentah dan bersih secara konsisten kepada penduduk,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Anggota Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Merotai Datuk Pang Yuk Ming serta Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Datuk Willis Ansoi.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata projek itu antara lain dapat mengimbangi bekalan air daripada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata serta LRA Utara yang terjejas akibat Sungai Tawau yang sering berdepan masalah kualiti dan kuantiti air sehingga mengganggu pembekalan air kepada penduduk Tawau.

“Kerajaan negeri akan berusaha menyiapkan projek ini menjadi kenyataan,” katanya empangan yang dibina berdekatan Taman Bukit Tawau itu turut bakal menjana ekonomi daerah kerana berpotensi untuk pelaksanaan aktiviti eko pelancongan di bawah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.

Sementara itu, Pairin berkata masalah air yang berlaku di seluruh Sabah perlu ditangani segera dengan perancangan serta kajian teliti perlu dijalankan lebih awal kerana keperluan permintaan bekalan air bukan sahaja pada masa ini namun untuk generasi pada masa hadapan.

“Perancangan bagi keperluan air sehingga tahun 2050 telah pun bermula dan pada kebiasaannya projek misalnya pembinaan empangan mengambil masa sehingga empat hingga lima tahun manakala pembinaan fasiliti LRA sehingga dua hingga tiga tahun,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan