Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,423

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Masa Depan Negara Bergantung Kepada Anak Muda Ketika Ini

12:25am 19/04/2017 Zikri Zainudin 25 views i-Muslim

Gambar Hiasan

Islam merupakan agama yang sangat sempurna jika ingin dibandingkan dengan agama yang lain.

Tidak mungkin kita akan jumpa agama yang meliputi seluruh aspek kehidupan politik, ekonomi dan sosial melainkan Islam.

Kali ini, kita bakal mengajak semua pembaca untuk menghayati dan mendalami satu dogma (ajaran) bicara berkaitan pengenalan politik Islam.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa : 48)

Ayat di atas merupakan dustur (peraturan) daripada Allah yang dicatatkan dalam kitab paling mulia, Al-Quran yang mengajak manusia untuk menjalankan amanah untuk memimpin dan mentadbir manusia dengan adil.

Islam melihat seorang pemimpin dalam kalangan manusia yang beriman adalah yang terpilih untuk menjalankan agenda Islam, tidak lain dan tidak bukan untuk menegakkan kebenaran, membezakan antara yang hak dan yang batil.

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Saad : 26)

Apabila berbicara tentang soal penguasa di muka bumi ini, berlakulah adil terhadap masyarakat yang dipimpin.

Rujukan seorang pemimpin adalah Al-Quran dan As-Sunnah yang dijadikan sebagai cagaran untuk mendakwa mereka di hari kiamat kelak, bukannya ikut sesuka hati.

Mari kita lihat konteks negara kita Malaysia yang menggunakan konsep Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan yang telah termaktub sejak dahulu lagi.

Jika dikaitkan dengan surah Saad ayat 26 di atas, kita dapat menggunakan sebuah kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara yang menjadi penyumpurna kepada wajib, maka dia adalah wajib juga’.

Persoalannya, apakah matlamat utama untuk berkuasa memimpin negara?

Semestinya matlamat adalah untuk meraih segala manfaat umum, kemaslahatan sejagat, malah dalam masa yang sama membanteras kebinasaan dan kebobrokan akhlak masyarakat.

Maka, hukum bagi pemimpin demi menjalankan amanah ini adalah wajib, begitu juga menjadi pemimpin lebih utama wajib dalam kalangan orang Islam.

Pada hari ini, kita dapat lihat paradigma baharu dalam politik Islam. Masyarakat semakin menyedari tentang kepentingan untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia.

Islam menganjurkan berpolitik, dalam politik dianjurkan untuk menerapkan agama Islam juga nilai moral, kesatuan ummat, kesatuan berfikir.

Jika negara mampu mengatur moral rakyat, maka ia mampu untuk mengubah sesuatu.

Buktinya, lihat sahaja baginda Nabi S.A.W dalam menggagaskan sebuah perlembagaan dikenali sebagai ‘Sahifah Madinah’ yang meliputi aspek kesama rataan, kepentingan ummat Islam.

Pergaduhan antara kaum Aus dan Khazraj mampu dileraikan apabila hadir seorang pemimpin Islam berwibawa, inilah yang dikatakan Reformis Islam.

Anjuran lain yang pernah dilaungkan oleh salah seorang ahli politik iaitu ‘mengamalkan politik, mempolitikkan agama’ wajar disahut dengan baik.

Islam & sekularisme adalah salah satu bentuk serangan pemikiran yang ingin meruntuhkan pemikiran anak muda, anak watan yang masih cetek dengan pemerhatian mereka sebenarnya.

Dalam perkembangan arus teknologi, kini kita hanyut, anak muda kurang membaca dan tidak mampu berperanan kepada aset negara. Lihat kerajaan Firaun yang rosak binasa lagi membinasakan seperti yang telah dirakamkan dalam Al-Quran.

“Kemudian Kami utus Musa sesudah rasul-rasul itu dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya, lalu mereka mengingkari ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang membuat kerosakan.” (Surah Al-A’araf : 103)

Kupasan ini berkisar tentang masa depan negara kita. Hari ini masyarakat khayal dan leka dengan nikmat dunia lagi-lagi anak muda.

Marilah kita cuba memahami usaha memartabatkan Islam sebagai ‘Agama Kehidupan’ yang wajar diguna pakai dalam negara yang masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Sudah banyak gerakan yang menggerakkan usaha dakwah dan tarbiah dalam segenap ruang dan peluang sama ada NGO, Parti Politik bagi memenangi hati rakyat untuk memikat kepada Islam, erti hidup bersyariat.

Maka, apa pula peranan kita sebagai anak muda, mahasiswa Islam? Ayuh!

(Sumber: iluvislam oleh Muhammad Ammar Yaser Bin Ahmad Nazri)

Apa Komen dan Pendapat Anda