Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MAS dapat dipulihkan – PM

mas

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Perdana Menteri yakin langkah penyusunan semula yang diambil Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bagi memulihkan Malaysia Airlines (MAS) mampu menjadikan syarikat penerbangan itu sebuah organisasi komersial yang berdaya maju pada masa depan.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa ini, industri penerbangan sangat kompetitif dan memerlukan penyusunan semula dilakukan secara menyeluruh untuk memastikan matlamat pemulihan MAS dalam tempoh tiga tahun tercapai.
Beliau berkata, langkah tersebut dibuat berdasarkan tiga prinsip dan perkara utama adalah MAS perlu dikekalkan sebagai syarikat penerbangan nasional yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
“Kedua, MAS mesti merupakan syarikat penerbangan komersial yang berdaya maju. Maknanya, segala keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan kepada pertimbangan komersial.
“Ketiga, kita hendak apa juga langkah termasuk penyusunan semula dibuat dengan mengambil kira kebajikan pekerja misalnya menyediakan pekerjaan alternatif kepada mereka atau tingkatkan kemahiran dan mungkin ada yang mahu berhenti secara sukarela,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Khazanah hari ini mengumumkan penyusunan semula MAS membabitkan suntikan dana sebanyak RM6 bilion yang antara lain akan digunakan untuk menampung kos pemberhentian kerja dan penamatan kontrak kira-kira 6,000 pekerjanya.
Perdana Menteri berkata, suntikan tersebut merupakan satu pelaburan dan MAS perlu bekerja keras untuk mendapatkan kembali wang berkenaan meskipun memerlukan tempoh yang lebih lama.
“Ini bukanlah satu bailout. Bailout adalah bila kita gunakan duit rakyat untuk mengambil alih daripada orang lain tapi dalam kes ini suntikan dibuat untuk menjadikan MAS sebagai organisasi yang berdaya maju.
“Kita akan memastikan duit itu dapat diperoleh semula tidak kira berapa sen sekalipun kerana ini adalah pelaburan,” tegas beliau.
Mengulas soal kebajikan kira-kira 6,000 pekerja itu, Najib berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pelbagai langkah secara teliti untuk membela nasib mereka.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan melantik pakar asing untuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAS yang baharu asalkan individu tersebut mempunyai kemampuan.
“Namun kalau kita lantik orang luar itu hanya sementara kerana selepas pemulihan berjaya, orang tempatan akan mengambil alih jawatan itu,” jelasnya.

Komen


Berita Berkaitan