Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Marsha, teman lelaki nikah lusa

6:27pm 29/12/2015 Pak Roshan 4434 views Hiburan,Mutakhir
PENYANYI dan pelakon, Marsha bersama bakal suaminya, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed.

PENYANYI dan pelakon, Marsha bersama bakal suaminya, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed.

KUALA LUMPUR: Menghentikan spekulasi bertebaran sejak beberapa bulan lalu, penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh mengesahkan sudah memeluk Islam dan akan menikahi teman lelakinya di Pulau Pinang, lusa.

Marsha berkata, dia memeluk Islam disaksikan kaum keluarga terdekat di sebuah lokasi yang dirahsiakan. Bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu juga enggan menyatakan tarikh dia memeluk Islam.

“Saya sudah memeluk Islam. Segala-galanya berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Apa yang saya harapkan penghijrahan saya ini tidak disensasikan.

Ini kerana ia terlalu peribadi buat saya.

“Saya memohon jangan dihebohkan perkara ini kerana semuanya sudah selesai demi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya dalam kenyataan.

Marsha yang mengekalkan nama asalnya memberitahu BH Online, dia akan menikahi ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada majlis tertutup di Pulau Pinang, lusa.

Menurut penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali itu, dia dan Shaiful bertunang di kampung halaman Marsha di Sabah pada 14 Disember lalu. Majlis itu hanya dihadiri kaum keluarga terdekat.

Ditanya mengapa terlalu berahsia mengenai perancangannya untuk berkahwin, Marsha berkata, dia tidak mahu perkara itu diperbesar-besarkan.

“Saya memilih untuk lebih banyak berdiam diri daripada berbicara mengenai perancangan perkahwinan. Ini kerana ada banyak hal yang kami perlu uruskan.

“Selepas mencapai kata sepakat antara keluarga dan beberapa perkara lain yang sudah diselesaikan, baharulah kami sedia memberi jawapan yang pasti kepada peminat,” katanya.

Marsha mengaku gembira akhirnya dapat bertemu jodoh dengan Shaiful.

“Apa yang saya harapkan, majlis yang bakal berlangsung berjalan lancar dan menjadi kenangan terindah buat saya dan keluarga,” katanya. Mengenai hubungannya dengan Shaiful, Marsha berkata, dia mengenali jejaka itu sejak 10 tahun lalu.

Namun, bibit percintaan mereka hanya berputik pada tahun 2013.

“Saya setuju untuk berkahwin dengan Shaiful selepas melihat keikhlasan dan kejujurannya sepanjang perkenalan kami.

“Sifatnya yang sentiasa mengambil berat dan hormat dengan ahli keluarga amat menambat hati. Shaiful juga sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya seni saya dan mahu saya lebih maju,” katanya.

Pada hari bersejarah itu, Marsha akan menggayakan busana rekaan Rizalman Ibrahim untuk majlis pernikahan dan resepsi. Selepas bernikah, pasangan ini akan diraikan dalam majlis resepsi di Hotel Majestic, di sini pada 8 Januari.

Sementara itu, pihak pengurusan Marsha memberitahu, gambar pernikahan pasangan ini akan diedarkan kepada media berikutan majlis itu diadakan secara tertutup.

Liputan media pada hari persandingan Marsha dan Shaiful juga terhad dengan gambar dan kenyataan akhbar akan diagihkan kepada wakil media.  – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan